APABILA dunia diancam pandemik Covid-19 yang menyaksikan penutupan semua pintu masuk Malaysia, peranan digalas pasukan keselamatan semakin getir kerana perlu memastikan sempadan negara tidak dibolosi langsung dari luar.
Di Kelantan, kawalan sempadan negara di sepanjang 41.8 kilometer Sungai Golok dilakukan secara bergilir-gilir oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan, PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa dan PGA Batalion 9 Kuala Terengganu.
Menerusi penugasan yang dipanggil Op Benteng Covid-19 tersebut, kerja keras ketiga-tiga batalion dalam PGA Briged Tenggara itu berjaya mematahkan 800 kes penyeludupan sepanjang tahun lalu, berbanding 526 kes pada 2019 dengan peningkatan kes 52 peratus.
Sementara itu, dalam tempoh umat Islam menyambut Ramadan dan Syawal kali ini menyaksikan PGA Batalion 7 yang berpangkalan di Kuantan, Pahang mengambil alih tanggungjawab berat itu.

Ketika ditemui baru-baru ini, Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, ketiadaan pagar atau tembok kekal menyebabkan sempadan Malaysia di Kelantan sering menjadi tumpuan penyeludup kerana dianggap paling mudah dibolosi.
Kata beliau, memandangkan keadaan sempadan yang ‘terbuka’ luas, Malaysia terpaksa bergantung kepada Sungai Golok yang sempit dan cetek sebagai ‘benteng’ semula jadi, di samping mengharapkan kudrat anggota PGA yang berkawal di sepanjang tebing setiap masa.
“Biasanya, minggu terakhir sebelum Aidilfitri menjadi tempoh paling getir kerana penyeludup semakin terdesak mahu membolosi kawalan sempadan negara dan sedaya upaya melakukan pelbagai helah tanpa mengira masa.
“Kita tiada pagar atau tembok kekal dan ini menyukarkan kami berkawal. Namun mereka jangan fikir boleh bolos ke negara ini dengan mudah. Selagi PGA ada di sini, kami akan kawal ketat sempadan kita 24 jam sehari bagi memastikan perkara itu tidak berlaku,” katanya.
Tambah Azhari, cabaran tahun ini berganda apabila pihaknya mendapat maklumat awal kemungkinan akan berlaku cubaan demi cubaan lintas sempadan Malaysia-Thailand secara haram dalam keadaan pandemik Covid-19 masih tinggi di seluruh negara.
“Ini terbukti apabila kami berjaya menahan dua tekong darat yang membawa 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) menaiki sebuah bas yang berhenti berhampiran pangkalan haram Tok Awang Belulang kira-kira pukul 7.45 malam, 21 April lalu.
“Kesemua warga Thailand itu baru tiba dari ibu negara didapati tiada dokumen sah dan mereka merancang mahu merentas sempadan menerusi Sungai Golok untuk menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing,” katanya.

Kegigihan penyeludup cuba membolosi sempadan dari semasa ke semasa terbukti apabila tidak sampai 10 hari mengambil alih penugasan, PGA Batalion 7 berjaya menggagalkan 31 kes penyeludupan di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang dan Tumpat.
Mereka turut menahan seramai 67 individu atas pelbagai kesalahan jenayah rentas sempadan manakala nilai rampasan dalam tempoh singkat itu sudah mencecah RM2.36 juta.
Antara paling banyak dirampas beras Siam, barang makanan, pakaian, kosmetik, aksesori, mercun, haiwan ternakan, haiwan eksotik, ayam sejuk beku, barangan bersubsidi, ubat batuk serta daun dan air ketum.
Berdasarkan statistik itu, PGA Batalion 7 secara purata berjaya menghalang sekurang-kurangnya empat cubaan menyeludup setiap hari, sama ada untuk memasuki negara ini atau keluar ke negara jiran.
“Dalam keadaan pandemik yang kembali serius di seluruh dunia, bayangkan apa akan jadi jika sempadan negara kita tidak dikawal ketat dan warga asing boleh bolos sewenang-wenangnya,” kata Azhari.
‘Penyeludup tidak pernah tidur, begitu juga kami’
JIKA di negeri lain mereka dilaporkan ‘ligat’ dalam tempoh tertentu sepanjang Ramadan seperti waktu berbuka atau ketika solat tarawih, penyeludup di sempadan Kelantan-Thailand pula berbeza kerana aktif sepanjang masa, sama ada siang atau malam.
Sehubungan itu, penugasan Op Benteng Covid-19 di sepanjang Sungai Golok menuntut pengorbanan tinggi anggota PGA Batalion 7 Kuantan selepas mengambil alih tugas itu sejak 17 April lalu.
Sarjan Mejar Azman Mat Diah, 52, berkata, apabila tiba giliran untuk kawalan dan rondaan, setiap anggota tidak boleh leka walau sesaat kerana ia akan dimanfaatkan oleh penyeludup membolosi sempadan negara.
“Penyeludup di sini tidak pernah tidur. Mereka sentiasa cari ruang menyeludup barang siang atau malam. Maka kami juga tidak boleh tidur dan perlu berjaga-jaga setiap masa dengan melakukan rondaan secara bergilir-gilir 24 jam sehari,” katanya.
Asisten Superintendan Azhar Awang Suliha, 40, pula memberitahu, setiap kali menjalankan rondaan, tiada istilah rehat bagi diri dan rakan-rakan sepasukan walaupun masuk waktu berbuka puasa atau mahu bersahur.
“Setiap hari, kami berbuka puasa dengan kurma dan meneguk air di tengah jalan bagi mengalas perut sebelum solat secara bergilir-gilir dan hanya menjamah hidangan berat selepas tamat waktu bertugas.
“Berdasarkan pengalaman, tugas mengawal sempadan di Kelantan lebih mencabar mental dan fizikal, terutama pada musim pandemik Covid-19,” kata anak kelahiran Kudat, Sabah itu.
Sementara itu, Koperal Khairul Anwar Salleh, 41, dari Pahang berkata, sejak PKP tahun lalu hingga kini, dia sudah lali berpisah dengan isteri dan anak-anak untuk tempoh masa panjang demi tugas kepada negara.











