Bibir kering tanda badan tidak cukup air, vitamin - Utusan Malaysia

Bibir kering tanda badan tidak cukup air, vitamin

Makanan rendah garam mengelakkan bibir mudah kering.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masalah bibir merekah hingga luka bukan saja mencacatkan penampilan. Ia turut membuatkan seseorang rasa kurang selesa lantaran sakit bila bercakap, ketawa mahupun makan.

Keadaan itu secara tidak langsung boleh mengganggu aktiviti seseorang malah boleh membuatkannya individu kurang berkeyakinan. Pandangan orang ramai pasti tertumpu pada bibir mengelupas yang berbeza daripada orang lain.

Menurut pakar pergigian, Dr. Irma Shida Abu Samah, bibir kering, merah dan perit sekiranya dibiarkan berlarutan, boleh mendorong ketidak selesaan termasuk merekah dan berdarah.

Dr. Irma Shida Abu Samah.

“Ia boleh menjejaskan aktiviti harian seperti makan dan bercakap,” katanya kepada Utusan Malaysia.

AIR LIUR
Menjilat bibir sering dilakukan bila bibir kering, namun kata Dr. Irma Shida, perbuatan itu hanya akan membuatkan bibir individu bertambah kering dan mudah merekah.

Faktor mempengaruhi kesihatan bahagian bibir terbahagi kepada luaran dan dalaman. Daripada segi faktor luaran, cuaca ekstrim seperti terlalu panas, sejuk atau kering mendorong individu menjilat bibir yang boleh memudaratkan bahagian berkenaan.

“Bagi masalah kering biasa, cukup sekadar sapukan krim sekerap mungkin atau setiap kali selepas makan atau mencuci mulut. Ia bertujuan melembutkan kulit permukaan bibir yang keras seterusnya digantikan dengan kulit baharu yang lebih sihat,” katanya.

Angular Chelitis biasanya berlanjutan
Masalah kulit bibir kekeringan juga boleh berpunca daripada faktor dalaman seperti penyakit Angular Chelitis yang menyebabkan luka di penjuru mulut.

“Luka tidak dirawat boleh mengakibatkan jangkitan yang menyebabkan kawasan itu merah, bengkak sakit dan bernanah. Rawatan antibiotik diperlukan bagi meredakan jangkitan,” katanya.

GIGI PALSU
“Bagi mereka yang memakai gigi palsu, terutama gigi palsu penuh, mereka juga mudah mengalami kekeringan bibir terutama jika gigitan gigi palsu tidak tepat dan air liur sentiasa berkumpul di bukaan bibir.

“Pada warga tua, yang imuniti tubuh sudah semakin rendah, di tambah dengan kurang menjaga kebersihan mulut dan gigi palsu, pesakit mungkin mendapat Perleche, di mana bibir menjadi kering dan berkuping terutama di tepi bibir akibat jangkitan kulat candida. Pesakit diabetes juga cenderung mendapat masalah ini kerana imuniti tubuh yang rendah,” katanya Dr. Irma Shida.

Antara langkah boleh diambil memastikan kesihatan kawasan sekitar sihat, Dr. Irma Shida menyarankan individu mengambil makanan rendah garam atau sodium.

“Lebihkan makanan dan buah-buahan serta sayur-sayuran yang tinggi vitamin C, B dan zat besi. Kekurangan vitamin B turut boleh mengakibatkan kekeringan hujung bibir hingga menjadikan ulas bibir merekah jika menganga mulut,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai sentiasa memeriksa status kesihatan dan status kesihatan pergigian anda di klinik.

“Pastikan kebersihan gigi, mulut dan gusi dalam keadaan optimum untuk mengelakkan kes-kes jangkitan kulat dan kuman di bibir,” katanya.

RINGKAS:
*Bukanlah masalah besar tetapi, jika kita tidak mengambil tahu punca bibir kering berpanjangan.

*Jangkitan virus Herpes Simplex boleh menjangkiti kawasan bibir menyebabkan ulser. Ia mengambil masa lama untuk sembuh dan kebarangkalian kawasan bibir dijangkiti kuman, sangat tinggi.

Kesihatan bibir:
*Minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari untuk memastikan badan terhidrasi.

*Kurangkan minum air berkafein untuk mengelakkan air dalam badan dibuang secara berlebihan.

*Makan makanan rendah garam atau sodium. Lebihkan pengambilan makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran tinggi vitamin C, B dan zat besi untuk menghindar dari penyakit.

*Jika berada dalam cuaca ekstrem seperti terik matahari, pakai pelindung sesuai seperti topi atau payung.

*Jika berada di tempat terlalu sejuk, kering dan berangin, pastikan anda mengoles bibir dengan pelembab bagi mengelakkan bibir merekah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN