Lebaran Ramadan datang kembali. Saat yang dinantikan oleh setiap ibubapa, termasuk diri ini. Bulan yang penuh mulia, bulan penuh kesabaran khususnya mereka yang mempunyai ramai anak.
Pelbagai karenah menduga. Saat berbuka puasa. Waktu solat terawih dan berjaga malam untuk beribadah.
Tidak lupa juga anak anak kecil yang sepatutnya dididik untuk berpuasa, mengaji, solat terawih dan bermacam lagi.
Walaupun sibuk inilah bulan yang penuh dengan kemeriahan. Persoalannya bagaimana kita mendidik anak-anak dalam bulan Ramadan?
Mengimbas memori lama ketika berumur lima tahun, bulan Ramadan adalah bulan yang paling seronok. Kononnya mahu berpuasa penuh sebab ingin membuktikan kepada ibu ayah bahawa diri ini sudahpun dewasa.
Tapi, baru jam 12 sudah menggelupur. Ibu beri galakan tetapi tak larat. Puasa separuh hari. Keesokannya cuba lagi. Berjaya bertahan hingga jam 3 petang. Cuba lagi dan apabila berjaya puasa penuh, ia menjadi satu kepuasan teramat. Mencecah umur tujuh tahun, puasa penuh sudah menjadi kebiasaan.
Saya bersyukur, galakan ibu bapa, banyak membantu. Waktu iftar adalah saat paling seronok, penuh dengan pelbagai juadah. Kemudian berlumba-lumba mengerjakan solat terawih. Waktu sahur sering terlelap di meja makan. Belum lagi bercerita keadaan di sekolah pada waktu pagi. Itu kenangan saya.
Kini Bella, 10 dan Tasha, 8, melalui proses yang sama.
Ramadan boleh menjadi cabaran buat anak-anak, sekiranya tidak dilatih dari kecil.
Kekadang Peperiksaan berlaku dalam bulan Ramadan. Ibu bapa menjadi serba salah memikirkan keadaan anak.
Alhamdulillah Bella dan Tasha tidak mengalami masalah meneruskan aktiviti dalam bulan puasa malah begitu bertenaga sekali. Mungkin sebab sudah biasa sejak dari kecil. Mereka dididik berpuasa sejak berumur lima tahun lagi. Kami sering memberi galakan dan berkongsi kebaikan ibadah puasa.
Kami juga sering melakukan aktiviti agar mereka lupa bahawa mereka berpuasa. Tidak pernah memaksa!.
Umur mencecah 6 tahun barulah mereka mampu puasa penuh. Jadi umur 7 tahun, puasa sudah jadi lumrah. Si kakak akan memberi galakan dan dorongan buat si adik.
Berikut saya kongsi tips didikan berpuasa agar kemesraan dan kemeriahan menjadi keutamaan seisi keluarga.
1. Galak puasa seawal 5 tahun.
Jangan sesekali memaksa tetapi lebih kepada galakan dan dorongan untuk anak berpuasa. Anak mungkin berasa lapar separuh hari. Galakkan anak bertahan sejam lagi sebelum mengizinkannya berbuka. Beritahu anak, betapa bangganya kerana dia mampu bertahan berpuasa kerana Allah. Yang penting bersemangat dan keinginan melakukannya. Tidak mengapa sekiranya tidak mampu langsung berpuasa penuh. Umur 5 tahun hanyalah sebagai pengenalan buat mereka. Bagi anak tujuh tahun ke atas, anda boleh lakukan ibadah bersama seperti solat dan mengaji agar mereka fokus dan tidak endahkan berapa lama lagi mereka harus berpuasa.
2. Beribadah bersama
Anak-anak akan berasa seronok bila melakukan aktiviti bersama ahli keluarga. Mereka suka bila dilayan seperti orang dewasa. Solat wajib dan sunat bersama, mengaji bersama adalah riadah digalakkan sepanjang Ramadan.
3. Juadah pilihan mereka
Saat menyeronokkan apabila anak dapat memilih makanan idaman untuk berbuka iftar. Biarlah anak memilih menu berbuka sebagai ganjaran, asalkan tidak membazir. Saya sering bertanya makanan yang diidamkan untuk berbuka dan berusaha mendapatkannya.
4. Berbuka bersama
Inilah saat paling berharga berbuka iftar bersama keluarga. Ajarkan mereka doa berbuka dan setiap anak harus bergilir membacanya dan di Aminkan seluruh keluarga. Berbuka dengan tamar mengikut sunnah dan manisan. Kepuasan pada riak wajah anak ketika berbuka, sudah pasti memberi kepuasan buat ibu bapa.
5. Berterawih bersama
Memandangkan kini wabak Covid-19, anak-anak tidak digalakkan untuk ke masjid. Berterawihlah bersama keluarga di rumah. Bapa sebagai imam dan anak sebagai bilal manakala anak isteri makmum. Beribadah bersama amat menyeronokkan.
6. Beri dorongan
Setiap malam sebelum tidur untuk niat berpuasa, saya akan memeluk setiap anak dan beritahu betapa bangganya diri ini sebagai ayah melihat mereka menunaikan ibadah puasa. Ini akan membuatkan mereka bersemangat meneruskan ibadah.
7. Kisah Nabi
Gunakan bulan Ramadan untuk bercerita tentang kisah Nabi dan pengorbanan mereka. Ini bertujuan memberikan anak pemahaman dan mendalami Islam. Menghafal surah dan Asmahul-Husna adalah didikan terbaik mengisi Ramadan.
Semoga bulan Ramadan dapat membawa kemesraan buat semua ahli keluarga.
Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting dalam mengekalkan keharmonian.
Banyakkan bersabar, kurang bertutur sebaliknya tingkatkan ibadah.
Semoga dapat memberi manfaat.
Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha adalah Angkasawan Negara dan Felo Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).









