Aidilfitri dirai penuh kesyukuran. Sungguhpun segala persiapan dilakukan sederhana dek pandemik Covid-19 yang masih menyelimuti negara, senyum bahagia tetap terukir di bibir lantaran keluarga tersayang setia di sisi pada lebaran ini.
Bagi pasangan kerdil, Siti Norbaya Romli, 52, dan suami, Kamalrudin Manan, 50, persiapan utama lebaran adalah untuk anak tunggalnya Muhammad Muhsin Ali, 13.
Sementara mereka berdua, memakai apa yang ada asalkan bersih dan rapi.
“Saya dan suami boleh pakai baju raya yang lama. Lagipun, raya pertama sekejap sahaja kemudian terkurung dalam rumah juga.
“Untuk anak, saya sudah belikan sepasang baju Melayu sahaja. Kalau dulu, macam-macam dibeli dan kami sediakan untuk anak bujang seorang ini.
“Raya ni, yang lebih utama anak. Biar dia yang seronok,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mengimbau kenangan menyambut Hari Raya tahun serangan Covid-19, mengundang tawa di bibir comel Siti Norbaya.
Katanya, kalau dulu, bila tiba Aidilfitri kalau boleh semua perlu ditukar baharu.
“Baju raya baru, selipar atau kasut baru, langsir pun ditukar baru. Kita bukan niat nak tunjuk kepada orang lain, tetapi kepuasan sendiri sebab nak menyambut raya.
“Namun tahun ini, tiada ‘mood’ mahu beli dan tukar pada yang baharu. Jadi, yang lama akan dibasuh dan dipakai semula,” katanya.
TUJUH LIKUR
Siti Norbaya memberitahu, seminggu sebelum lebaran iaitu malam tujuh likur, mereka sekeluarga cukup teruja memasang pelita dan lampu kelip-kelip sebagai tanda Aidilfitri akan tiba.
“Tahun ini semua itu kami tak buat dah. Tiada lagi melebih-lebih. Semuanya secara sederhana. Mungkin itu juga ingatan Allah buat umatnya supaya tidak membazir.
“Kalau dulu kuih raya dihidangkan lapan hingga 10 jenis berbanding tahun ini saya hanya sediakan dua hingga tiga jenis sahaja,” katanya.

Begitupun juadah pagi raya tetap disediakan bagi meraikan hari kemenangan umat Islam selepas sebulan menahan lapar dan dahaga berpuasa.
“Juadah pagi raya seperti ketupat palas, lemang periuk dan lemang yang akan dimakan bersama rendang akan saya sediakan seperti biasa.
“Lemang periuk kera itu biasanya akan dikirimkan oleh keluarga suami di Segamat, Johor. Tetapi dalam situasi sekarang saya akan cuba buat,” katanya.
Kini beliau sekeluarga berada dalam fasa mengemas rumah, membasuh langsir dan memasang langsir.
Tidak terkecuali merapikan halaman rumah yang wajib dilakukan sebagai meraikan Aidilfitri.
TERKESAN
Pembantu Perawatan Kesihatan di Jitra, Kedah ini mengakui, memikirkan rakan-rakan barisan hadapan yang bertarung nyawa melawan Covid-19, amat memberi kesan kepada sambutan lebaran mereka sekeluarga.
“Tahun ini bila fikir semula, jika sambutan raya kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), persiapan pun ala kadar sahaja. Mana yang boleh dipakai, pakai. Kita beraya-beraya juga tapi perlu mengingati orang lain sama.
“Alhamdulilah, kita masih boleh beraya berseronok di sini. Cuba bayangkan mereka yang sedang bertarung melawan jangkitan Covid-19. Tinggal di wad tanpa siapa di sisi.
“Petugas barisan hadapan yang lain pula, tidak boleh pulang jumpa keluarga berbulan-bulan. Itu yang selalu saya ingatkan kepada anak saya. Kita perlu lihat orang lain juga,” katanya.
Sementara itu, bagi Kamalrudin, kesedihan sangat dirasai apabila sudah dua tahun tidak pulang kampung beraya bersama keluarga di Segamat, Johor.
“Kali terakhir pulang ke kampung hujung 2019 ketika arwah bapa meninggalkan kami semua. Itupun sekejap sahaja. Tapi nak buat macam mana. Hanya berhubung mereka yang lain melalui telefon sajalah.
“Tapi saya tetap bersyukur, ahli keluarga tidak pernah lupa untuk menghantar juadah wajib kami di Segamat iaitu Lemang Periuk Kera.
“Tahun ini mereka mengirimkan secara pos 50 kelongsong atau sarang periuk kera bersama kerepek-kerepek yang tiada di sini. Raya tahun lalu pun keluarga mengirimkan juga. Sekurang-kurangnya terubat kerinduan kami anak beranak di sini,” katanya.

DUA TAHUN TIDAK BALIK KAMPUNG
Seperti tahun lalu, tahun ini, Siti Norbaya sekeluarga juga tidak dapat pulang ke kampung di Segamat.
“Sudah dua tahun tidak pulang ke kampung suami untuk beraya. Tahun lalu sepatutnya giliran pulang ke kampung suami, tetapi tidak dapat merentas negeri, jadi kami hanya beraya di kampung saya di Jitra. Begitu juga tahun ini. Kami akan beraya di sini sahaja.
“Tahun lalu, walaupun kampung saya tidak jauh, kami tetap takut-takut juga mahu balik. Balik kampung pun tidak sampai dua jam, patah balik semula ke rumah sendiri. Polis membuat rondaan ketat di semua kampung. Jadi, tak berani sangatlah nak beraya ke sana ke sini,” katanya.
Katanya, jika dibenarkan balik kampung, dia akan pulang sehari sebelum raya untuk membantu persiapan ibunya yang berada di kampung, walaupun tidak meriah seperti dulu.
“Kalau dulu balik kampung, ramai sanak saudara datang. Tapi tahun lepas tahun ini perlu bergilir-gilir dan paling sedih tiada lagi aktiviti kunjung-mengunjung dan rumah terbuka diadakan,” katanya.











