Nutrisi untuk anak berpuasa - Utusan Malaysia

Nutrisi untuk anak berpuasa

Asnawiyah Kamarudin bersama anak-anak bersedia untuk berbuka puasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Umat Islam mulai bersahur bagi memulakan puasa Ramadan. Bagi ibu bapa dan si cilik baharu ingin belajar berpuasa, sudah pasti keterujaan itu terbit dalam hati. Tidur lebih awal supaya mudah bangkit dinihari antara pesanan biasa kita dengar.

Realitinya ibu bapalah insan paling seronok dan agak gusar melatih anak-anak berpuasa.

Seronok kerana ia pengalaman pertama. Gusar kerana sejauh mana sajian disediakan itu pada masa sama, mampu membekalkan tenaga di sekolah.

Menurut Pakar Pemakanan Pantai Hospital Sungai Petani, Nur Zakira Imana Mohd. Fadzil, mendidik anak berpuasa mungkin menjadi satu cabaran buat sesetengah ibu bapa apatah lagi jika ibadat itu dilakukan ketika cuaca panas dan terik.

Ia boleh menyebabkan mereka lebih cepat berasa letih, dahaga dan mengalami dehidrasi hingga menjejaskan aktiviti seharian.

NUR ZAKIRA IMANA MOHD. FADZIL

Oleh itu, perhatian penting perlu diberi terhadap pengambilan makanan dan minuman ketika bersahur dan berbuka puasa agar mereka kekal cergas serta sihat bagi menjalani ibadat puasa.

“Sahur adalah suatu kewajiban. Tawarkan mereka makanan mengandungi karbohidrat lebih kompleks seperti beras perang, pasta, produk bijirin penuh atau pita, sayuran berkanji dan sayuran berdaun selain sumber protein yang baik seperti ikan, telur, ayam dan daging.

“Malah elemen penting tidak boleh diabaikan ialah melengkapkan hidangan mereka dengan sesuatu yang manis daripada buah malah makanan tinggi serat membuatkan kanak-kanak lambat berasa lapar,” katanya.

Untuk anak dalam usia muda (kurang tujuh tahun), ibu bapa boleh mencuba bubur dengan campuran sayuran bersama sumber protein yang baik seperti ikan atau telur.

Pada akhir hidangan sebelum mula berpuasa, kanak-kanak boleh diberi minuman yang membekalkan tenaga. Susu menjadi salah satu pilihan ketika bersahur untuk anak kekal terhidrat.

“Disebabkan tempoh berpuasa yang lama sehingga belasan jam, makanan yang lebih mudah dicerna akan menjadi pilihan lebih baik untuk kanak-kanak manakala ada beberapa jenis makanan perlu dihindari untuk mengelakkan masalah penghadaman.

“Makanan mengandungi banyak lemak dan terlalu berempah atau pedas boleh memicu beberapa masalah penghadaman misalnya kembung, refluks dan beberapa masalah lain,” katanya.

AJAR ANAK BERPUASA SEAWAL LIMA TAHUN

Ibu, Asnawiyah Kamarudin, 35, mendidik lima anak-anaknya berpuasa sejak usia lima tahun tetapi ia bukanlah paksaan.

Sebaliknya soal ibadat seperti solat dan berpuasa dijalankan secara berperingkat.

“Libatkan mereka dalam solat. Dengan itu anda akan mendapati lebih mudah untuk anak memahami dan menjalankan ibadah puasa dengan rela hati.

“Jangan membandingkan anak anda dengan orang lain. Sebaliknya, lihatlah kemampuan anak sendiri sama ada mereka bersedia untuk melakukan ibadah puasa,” katanya.

Kebiasaannya, Asnawiyah dan suami akan melakukan aktiviti yang menyeronokkan untuk membantu anak-anak memahami tentang ibadah puasa.

Misalnya, boleh berbual santai, membaca buku cerita, membuat kraf, lakonan boneka dan sebagainya.

“Kita tidak mahu mendidik anak supaya menganggap Islam adalah agama yang susah. Sebaliknya, ia adalah fitrah dan bersesuaian dengan semua manusia.

“Anak-anak saya bersekolah di sekolah aliran Cina, walaupun ada cabaran yang dihadapi, mereka tetap bersemangat berpuasa.

“Kebetulan guru-guru dan rakan-rakan mereka juga memahami jika pelajar-pelajar beragama Islam berpuasa. Malah, anak-anak saya tidak sukar bangun sahur kerana sejak kecil mereka terdedah dengan rutin bangun awal.

“Kadang-kadang mereka ada penggambaran iklan dan mereka akan bangun seawal pukul 4 pagi. Jadi, untuk bangun awal bersahur mudah bagi mereka,” tambahnya.

Dalam pada itu, Asnawiyah selalunya merancang aktiviti ketika Ramadan bersama anak-anaknya Nor Ayu Natasha Norhisham, 10, Nur Ayu Arissa Norhisham, 8, Nur Ayu Amanda Norhisham, 7, Muhammad Adam Darwish Norhisham, 5, dan Bunga Ayu Norhisham, 3, untuk mengelak anak-anaknya letih.

“Saya akan mencari idea menarik untuk mereka buat aktiviti yang melekakan. Antaranya mewarna, menghias rumah, bermain play doh, blok binaan, melukis, membaca buku cerita atau membuat kraf.

“Tapi kalau anak-anak saya tidak larat, saya tidak masalah untuk mereka berbuka. Bagi saya, kita tidak boleh memaksa mereka tetapi kita kekalkan mood berpuasa mereka,” jelasnya.

Menyediakan menu kegemaran anak-anak boleh membantu mereka berselera makan sahur.

MAKANAN TINGGI NUTRISI

Protein
Perbanyakkan sumber protein. Ia adalah makonutrien yang paling lambat dicernakan banding dengan karbohidrat dan lemak. Ia juga adalah sumber zat besi dan pelbagai vitamin yang membantu anak kekal cergas. Ayam, ikan, daging, keju, susu dan kekacang antara pembekal protein.

Serat
Waktu pagi selepas ambil menu utama sahur, galakkan anak snek sedikit dengan buah-buahan sebagai pencuci mulut. Kenapa? Sebab ramai anak anak susah sangat nak makan sayur, tapi boleh terima lagi buah-buahan. Serat membantu rasa kenyang lama sedikit. Ajar anak ambil satu hidangan buah.

Tanya mereka nak menu apa sebelum tidur
Sebenarnya dengan bertanya, anda ambil kira pandangan anak dan lebih tinggi kemungkinan untuk anak terima makanan yang disediakan esok pagi.

Jangan paksa anak puasa penuh
Ambil langkah demi langkah. Kalau hari pertama berjaya puasa empat jam tak mengapa. Esok kita cuba naikkan kepada lima jam. Kalau berjaya puasa satu hari, mungkin boleh bagi motivasi seperti beri RM1.Tapi jangan paksa anak puasa penuh pada kali pertama mereka nak cuba.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×