Bekalan vaksin: Barat tidak gentleman - Utusan Malaysia

Bekalan vaksin: Barat tidak gentleman

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohd. Rabin Basir di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya - MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Mengejutkan! Itulah yang boleh digambarkan melalui temu bual eksklusif kali ini bersama Ketua Pengarah Keselamatan Negara di Majlis Keselamatan Negara (MKN), DATUK MOHD. RABIN BASIR.
Ceritanya, sewaktu Mingguan Malaysia menyentuh soal vaksinasi, beliau memberitahu bahawa Malaysia sebenarnya menjadi mangsa permainan kuasa besar, malah dibuli oleh segelintir negara pembekal vaksin di blok Barat.
Memburukkan lagi keadaan, beliau berkata, di peringkat dalaman, sewaktu kerajaan berhempas pulas mengawal pandemik, pihak hospital swasta pula bersikap terlalu ‘keras’ dan tak menghulurkan bantuan. Ini sekali gus mendorong kerajaan mengisytiharkan darurat.
Dengan segala macam senario ini, bagaimana kerajaan mengemudi bahtera negara mengharungi wabak Covid-19? Sampai bila rakyat perlu sabar, sabar dan sabar dengan semua SOP yang dikuatkuasakan? Paling utama, sejauh mana kerajaan mampu bertahan dari segi ekonomi?
Ikuti temu bual ini, yang disertai wartawan FAHMI FAIZ, AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN serta jurugambar AMIR KHALID di ibu pejabat MKN di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada Khamis lalu.

 

MKN GENAP 50 TAHUN
MINGGUAN MALAYSIA: 2021 genap 50 tahun MKN ditubuhkan. Boleh kongsikan pencapaian selepas lebih setengah abad?
Terima kasih kepada pihak Mingguan Malaysia kerana datang untuk melihat apakah perkembangan di MKN ini. Secara asasnya, 50 tahun dahulu selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969, MKN ditubuhkan pada 1971 dengan hasrat menyatupadukan rakyat. Kerana isu pada masa tersebut akibat daripada perbezaan politik dan juga jurang pendapatan yang tinggi. Jadi kerajaan memikirkan bagaimana cara untuk memenangi fikiran rakyat dan menjurus kepada kerjasama dalam kalangan kita warga Malaysia.

Selain itu, apa lagi fungsi MKN?
MKN ini bila melihat adanya keperluan untuk menyatukan elemen-elemen yang berlaku dalam kementerian, jadi MKN diamanahkan menjaga sempadan darat dari segi dasar dan polisi sedia ada. Kemudian MKN juga dipertanggungjawabkan berkaitan isu maritim, kita juga menguruskan isu berkaitan dasar keselamatan siber negara, dan yang terakhir berkaitan keperluan untuk membantu kecemasan, seperti apabila hari ini pandemik Covid-19 melanda.

Tidakkah fungsi MKN mungkin bercanggah dengan aparatus lain?
Sebetulnya, inilah keindahan kita di Malaysia, tidak ada konsep silo sebetulnya. Misalnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada tanggungjawab sendiri, sebagai contoh berkaitan keselamatan dalam negeri. Kalau Angkatan Tentera Malaysia, fokus utama untuk basmi ancaman dari luar, itulah tugasnya. Tapi bila ada keperluan untuk penglibatan MKN, kita lebih kepada menyatukan peranan yang dimainkan oleh setiap agensi.

Maksudnya, fungsi MKN adalah untuk menyelaras semua jentera kerajaan lain?
Ya, namun dalam konteks sekarang lebih kepada hal berkaitan pandemik dan keselamatan, jadi Perdana Menteri (PM) ada kluster ekonomi, MKN ini kluster keselamatan, jadi kita koordinasikan hal-ehwal keselamatan.

GAGAL URUS PANDEMIK AKIBATKAN RAKYAT AGRESIF
Sejauh mana pandemik beri kesan kepada keselamatan negara?
Saya huraikan sebagai layman (orang biasa). Kalau ramai rakyat kena pandemik, maknanya ramai yang tidak pergi bekerja. Kesannya ekonomi tidak dapat berkembang. Bila ekonomi tak berkembang, kerajaan terpaksa mengeluarkan banyak bantuan. Ini akan jadi satu bebanan kepada kerajaan untuk menyediakan sumber makanan dan sumber pendapatan yang mencukupi. Apatah lagi dalam keadaan sekarang, kita dimaklumkan banyak berlaku pengangguran di negara kita. Jadi kalau mereka tak diberi peluang, ini akan mengancam keselamatan. Itu bahasa yang paling mudah.

Boleh beri contoh?
Kalau di negara lain, bila berlaku pandemik dan rakyat mereka tak dapat ubatan mencukupi, tak dapat makanan mencukupi, mereka keluar ke jalanan. Mereka buat rusuhan, buat demonstrasi yang akhirnya berkemungkinan akan merosakkan harta benda awam.
Ini pun satu ancaman. Tapi yang paling bahaya sekali, pandemik itu kalau tak dikawal, keyakinan rakyat kepada kepimpinan yang ada, ia akan meluntur dan secara automatik, ia akan jadikan rakyat agresif. Ini yang kita tak mahu. Kita dengar di beberapa negara, contohnya tempoh hari di Asia Selatan, kerana tak cukup ubat dan dibuat pula sekatan, rakyat di sana mengamuk di depan Parlimen. Adakah itu bukan isu keselamatan? Rakyat tidak bekerja pada hari tersebut, aparatus keselamatan terpaksa ditumpukan ke situ, dan yang paling bahaya apabila harta benda awam dan kerajaan musnah.

MANGSA PERMAINAN KUASA BESAR
Dalam isu vaksin sekarang, adakah semua tertakluk kepada keputusan Kementerian Kesihatan (KKM)? Siapa yang buat keputusan sebenarnya?
Macam isu bekalan vaksin sekarang, bukan KKM sahaja yang buat keputusan. PM melantik YB Khairy Jamaluddin bersama Menteri Kesihatan, duduk sama-sama dan bincang ubat serta vaksin yang mana yang paling berkesan.

Vaksin apa yang paling berkesan?
Setakat ini ialah Pfizer, AstraZeneca dan juga Sinovac dari China, kita gabungkan memang usaha kita untuk atasi wabak ini secepat mungkin. Memang lumrah kita, kalau hari ini kita sakit, esok kita mahu sembuh. Macam vaksin juga, kalau boleh hari ini kita terima (vaksin), esok boleh sembuh. Tapi hakikatnya tak sebegitu. Kita ini sebenarnya jadi bahan permainan kuasa-kuasa besar. Ubat yang kita patutnya terima cepat, tapi dilewat-lewatkan oleh pembekal. Jadi ini menjadikan masalah untuk kita.

Permainan yang macam mana, boleh ulas lanjut?
Apa yang saya maksudkan, kita pada satu peringkat dimaklumkan bahawa negara-negara Barat ini, mereka mahu utamakan rakyat mereka. Jadi bila mengutamakan rakyat mereka, kita yang sudah order vaksin ini terpaksa mengikut giliran lah, walaupun sepatutnya kalau ikut giliran, kita patut terima lebih awal. Jadi itulah realitinya.
Sepatutnya, kalau sudah terima pesanan, jadilah gentleman, penuhi pesanan seperti dijanjikan ikut aturannya. Janganlah kerana hendak utamakan rakyat mereka, kita pula disisihkan, betul? Jadi hal ini yang kita dimaklumkan dulu. Jadi kita lihat seolah-olah ada semacam elemen buli di sini.

Perangai ‘pembuli’ ini berlaku dalam kalangan pembekal vaksin negara mana?
Yang ubat ini, kebanyakan ubat dari negara Barat. Maksudnya tidak bergantung kepada Pfizer sahaja, atau Sinovac sahaja, atau AstraZeneca semata-mata. Jadi kita kalau boleh biarlah ada banyak sumber pembekal, cuma masalah ketepatan masa (timing) itu yang tidak dapat dipercepatkan. Rakyat kita ini, biasanya kalau sudah terima ubat, mereka sudah tak takut (terhadap penyakit). Cuma masalah bila ubat sudah tiada di pasaran, jadi macam mana hendak vaksinkan, nanti orang bising pula, betul? Sebab kita gentleman, order, bayar dan ambil.

Bila keadaan macam itu, apa langkah kerajaan terhadap negara pembekal? Ada hantar nota bantahan misalnya?
Kita memohon kepada negara-negara tersebut, supaya perkara ini dipercepatkan agar kita dapat mencapai hasrat kita, herd immunity sebanyak 70 peratus dapat dicapai sebelum akhir tahun ini.

Bercakap pasal kuasa besar, tidakkah kerajaan terfikir kemungkinan pandemik Covid-19 ini satu bentuk senjata biologi atau psikologi?
Kita sebetulnya, kalau di Malaysia, kita melihat perkara yang sedang berlaku. Tapi polemik siapa yang mulakan dulu pandemik Covid-19 dan sebagainya, kita tak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Sebab yang paling besar, memang bila ia merebak di Wuhan (China) lah. Jadi isu sama ada ini permainan pihak tertentu, ia meninggalkan satu tanda tanya. Tapi yang kita nampak, sekarang ini kita kena berhati-hati terhadap wabak ini. Sebab walaupun jumlah kematian kita kurang daripada 0.4 peratus, namun masih kita khuatirkan. Sebab psikologi rakyat itu tinggi.

Boleh beri contoh?
Contohnya Disember tahun lalu sebelum cuti sekolah, bila berlaku kes di Bangsar, mak bapa tarik anak dia dari sekolah. Jadi kesannya, sistem persekolahan tumbang! Cikgu-cikgu hendak ajar siapa kalau murid sudah tiada? Jadi kalau bercakap pasal penyelesaian, iaitu vaksin, pengeluarnya seperti yang saya sebut tadi, adalah negara Barat, China dan Rusia. Kalau vaksin ini tidak sampai, kita akan timbul tanda tanya, apa sudah jadi ini, sedangkan kita dah bayar?

Apa maksud vaksin tak sampai? Pembekal mana yang culas edar ubat?
Ini ikut urutan. Kalau ikut kontrak, saya dimaklumkan kita akan membeli dalam kuantiti yang banyak. Sekarang ini yang terbesar kita beli adalah dari Pfizer, AstraZeneca dan juga Sinovac. Apa yang penting, kita tidak boleh bergantung kepada satu pembekal sahaja, bak kata pepatah, jangan letak semua telur dalam satu bakul. Kenapa? Kalau satu pembekal itu sekat penghantaran, masalah pada kita.
Saya tak ‘privy’ kepada persoalan berapa banyak beli dengan Pfizer, berapa kita beli dengan AstraZeneca atau Sinovac. Tapi yang saya dimaklumkan, bekalannya mencukupi untuk seluruh rakyat kita.

apa punca darurat?
Sampai bila rakyat akan berhadapan dengan darurat?
Ia bergantung, saya difahamkan isunya adalah angka. Kalau angka tidak dapat dikurangkan, masalah ini akan berpanjangan. Kita berdoa dan meminta supaya angka itu dapat diturunkan. Kedua, kita berusaha agar vaksin dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Di antara sebab kenapa kerajaan terpaksa menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk dilaksanakan darurat, kerana jumlah katil hospital dengan perubatan yang ada dalam negara ini dijangka tidak mencukupi pada masa itu (selepas Pilihan Raya Negeri Sabah).
Kedua, tidak ada penglibatan daripada pihak swasta. Pada waktu yang diumumkan darurat dulu, hospital di Lembah Klang ini pada waktu itu boleh dikatakan mencapai tahap 105 peratus pesakit. Hendak buat macam mana ni, kalau tiada tempat? Hospital swasta pula pada masa itu mereka sangat keras, dan mereka tak mahu imej mereka terjejas kalau terima pesakit Covid-19. Kalau ada pesakit Covid, macam orang kena AIDS bagi mereka, dan mereka tak mahu terima pesakit ini.

Bagaimana pula dengan segala jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sampai bila rakyat harus melaluinya?
PKP bergantung kepada kedudukan kes di sesuatu tempat. Tapi PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (Pemulihan) yang orang hendak sangat sekurang-kurangnya sekarang ini. Persoalan bila PKP hendak ditamatkan, itu masih menjadi satu tanda tanya yang besar, bergantung kepada berapa jumlah kita kawal.

Awal tahun lepas sewaktu pandemik mula menyerang, kerajaan laksanakan total lockdown meskipun kes belum terlalu banyak. Adakah ia satu kesilapan?
Dulu bila kita berada dalam keadaan panik sewaktu PKP 1.0, jumlah pesakit Covid-19 tidak ramai pun, 100 lebih pesakit sahaja, tapi kita buat total lockdown. Itu kesilapan yang paling besar kita buat, sebab bila kita total lockdown, ekonomi tidak berkembang langsung. Mahu bermula balik, ia memang sangat susah.

Pelan jangka panjang MKN dalam mendepani pandemik, di kala Perdana Menteri sendiri memberitahu ketika ini duit kita sudah tidak banyak?
Itu sebabnya dengan dasar yang ada dalam kita mengimbangi hidup, kerajaan akan cuba mengawal pandemik ini seberapa ketat yang boleh. Maknanya, kurangkan jangkitan, pastikan rakyat ikut SOP, dan kemudian dapatkan vaksin. Tetapi dalam masa sama, jangan lupa bahawa kita perlu pastikan mereka yang bergelar rakyat Malaysia ini mendapatkan peluang pekerjaan dan makanan. Atas sebab itulah kita buka sedikit-sedikit kebenaran pergerakan.

HERD IMMUNITY
Kalau rakyat ikut SOP, adakah kita boleh capai angka sifar kes Covid-19?
Kalau mahu ke angka sifar, itu memang mustahil. Sebab, mungkin kita sudah dengar kes siapa yang sudah dicucuk vaksin, tidak bermakna dia tidak boleh dijangkiti. Contohnya, hari ini di Singapura, saya dimaklumkan ada satu kes dia kena balik walaupun sudah divaksin. Di Sarawak minggu lepas, ada empat orang dari China sudah cucuk dua kali, tapi tetap kena.

Maksudnya, vaksin tak jamin bebas Covid-19?
Untuk diri golongan yang divaksin, dia kuat, adalah penambahan sedikit. Cuma kalau si pesakit hendak sebarkan kepada orang itu, kalau dia tidak pakai pelitup muka, tidak cuci tangan, tidak jaga jarak, dia mungkin boleh sebarkan kepada orang lain sebab virus itu sudah ada dalam badan dia, dia akan sebar kepada orang.

Kalau begitu, adakah bermakna virus Covid-19 akan menghantui kita selama-lamanya?
Tidak, sehingga sekarang ini kita mahu kawal. Pernah dengar bukan pasal herd immunity? Kalau 70 atau 80 peratus daripada rakyat kita ini sudah divaksinkan, jumlahnya akan menurun.
Bila jumlah menurun, pada masa sama dengan perkembangan teknologi perubatan terkini, kita boleh menyaksikan penurunan. Contohnya, macam sekarang ini isu varian dari Afrika Selatan dan Brazil, ia tidak mampan atau tidak kalah dengan vaksin yang baru, melainkan vaksin Johnson & Johnson. Jadi inilah teknologi.

KLUSTER KAYANGAN
Bagaimana wujud hukuman dwi-standard berbeza bagi pesalah Covid-19, sehingga muncul terma golongan kayangan?
Saya tidak melihat perkara ini sebagai kluster kayangan ataupun rakyat biasa. Tiada pengecualian, tiada isu kayangan, sebab semua di mata perundangan adalah sama. Sebab itu bila kita meluluskan beberapa ordinan berkaitan, contohnya orang yang tidak mengambil berat. Pendekatan kerajaan adalah pendekatan berhemah, pujuk dahulu. Tolonglah, kita (kerajaan) peduli pasal penyakit. Sebab mereka (rakyat) belum kena (penyakit Covid-19), kalau sudah kena macam bekas ketua saya seorang ini, hari ke tujuh dia kata dia tidak tahu hidup atau mati. Dia sudah diterbalikkan, dipasangkan oksigen, sangat menakutkan.

SOP BAZAR RAMADAN
Apa cerita sebalik SOP bazar Ramadan yang seperti tak dipatuhi?
Saya sebetulnya sangat sedih dalam isu ini. Saya mohon kalau boleh dimaklumkan kepada rakyat Malaysia, tolonglah patuhi SOP. Tolong ikut SOP, kalau jadi kluster, kami tiada pilihan kecuali kami akan tutup tempat-tempat tersebut. Jadi kita sangat prihatin, saya baru cakap tadi kita hendak jaga nyawa dan kehidupan, tapi kalau rakyat sendiri tidak sayang dengan diri mereka, apa kita boleh buat? Dan jumlahnya kalau kita lihat gambar bazar Ramadan yang tular baru-baru ini, sangat menakutkan. Mungkin gambar itu di Taman Melawati, saya pernah duduk di Keramat. Sekali pergi, dekat 1,000 orang. Kalau 1,000 orang kena Covid-19, hendak letak mana hospital kita? – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×