Sheikh Al Husari perintis rakaman 30 juzuk al-Quran - Utusan Malaysia

Sheikh Al Husari perintis rakaman 30 juzuk al-Quran

SHEIKH Mahmud Khalil Husairi adalah yang pertama merakam bacaan al-Qurannya bagi tujuan dakwah di benua Afrika.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Al-Quran yang mula diturunkan dalam bulan Ramadan adalah kitab mukjizat. Ketinggianya tidak dapat ditandingi dan manusia lemah menandingi kehebatan al- Quran. Allah SWT telah menjamin akan menjaganya. Sejarah membuktikan bahawa al-Quran dipelihara dengan utuh dan semua nasnya tetap kekal sahih sebagaimana ia diturunkan kepada Nabi SAW.

Ramai yang memberi sumbangan kepada perkembangan al-Quran. Ada ulama yang menulis berkaitan tafsir al-Quran, asbab nuzul, i’jaz al-Quran, sastera al-Quran dan lain-lain. Ada juga ulama yang mengambil berat berkaitan qiraat, tajwid dan cara baca al-Quran.

Setiap generasi ramai ulama al-Quran yang menjadi legenda dalam memberi sumbangan kepada perkembangan al-Quran.

Salah seorangnya ialah Sheikh Mahmud Khalil Husari yang mempunyai suara yang merdu, lunak dan merupakan qari pertama merakamkan bacaan al-Quran 30 juzuk iaitu pada tahun 1961.

Beliau dilahirkan pada 17 September 1917 di daerah Tonta, Mesir. Semasa usianya empat tahun, ayahnya menghantar beliau untuk menghafaz al-Quran di Masjid al-Ahmadi di Tonta dan berjaya mengingati keseluruhan al-Quran dalam usia lapan tahun.

Seterusnya beliau mengikuti pengajian di peringkat menengah di Maahad Diniy di Tonta dan melanjutkan pengajian ilmu Qiraat Sepuluh di Universiti al-Azhar.

Dalam satu tesis master yang membuat kajian tentang Sheikh al-Husari telah menyenaraikan guru-guru beliau yang hebat dalam ilmu al-Quran seperti qiraat dan tajwid. Bermula dengan gurunya yang pertama di Masjid al-Ahmadi iaitu Sheikh Ibrahim Sallam.

Beliau menyatakan bahawa, “Aku pergi ke Masjid al-Ahmadi di Tonta untuk menambah ilmu agama dan ilmu syariah di sana aku telah talaqqi Qiraat Tujuh dan Qiraat Sepuluh daripada Sheikh Ibrahim Sallam”.

Gurunya yang kedua ialah Sheikh Amir Ibn Sayyid Ibn Uthman. Beliau adalah ulama yang amat alim dalam ilmu qiraat, rasm, dabt dan fawasil. Ramai muridnya yang khatam pengajian qiraat dengan beliau antaranya Sheikh Khalil al-Husari, Sheikh Mustafa Ismail, Sheikh Muhammad Tamim al-Zu’biy, Dr. Aiman Suwaid dan lain-lain.

Gurunya yang ketiga ialah Sheikh Abdul Fattah al-Qadhi. Namanya begitu masyhur kerana banyak penulisannya dalam bidang ilmu qiraat terus digunakan dalam pengajian sehingga ke hari ini.

Antaranya, Budur al-Zahirah, al-Wafi Syarah kepada Matn Syatibiyyah, al-Faraid al-Hisan dalam ilmu fawasil dan lain-lain. Beliau juga menjadi ketua jabatan Qiraat di bawah Fakulti Bahasa Arab di al-Azhar dan selepas itu menjawat jawatan Ketua Jabatan Qiraat di Fakulti al-Quran di Universiti Islam Madinah. Ijazah sanad Qiraat Sepuluh Kubra yang diberi kepada Sheikh Khalil al-Husari adalah pada 1378 Hijrah.

Sudah menjadi kebiasaan para ulama berusaha bertalaqqi dengan guru yang tinggi sanad dan ilmunya. Begitu jugalah dengan Sheikh Khalil al-Husari di mana ketika itu Syeikh Qurra di Mesir adalah Sheikh Ali Dabba’.

Ilmunya luas diibaratkan seumpama lautan yang tidak jumpa dasarnya. Beliau meninggalkan banyak karya yang menjadi rujukan dan ramai muridnya yang menjadi tokoh al-Quran di Mesir, Mekah, Syria dan lain-lain.

Selepas beliau meninggal dunia, jawatan Sheikh Qurra dianugerahkan kepada Sheikh Mahmud Khalil al-Husari.

SUMBANGAN SHEIKH AL-HUSARI

Kemasyhuran Sheikh al-Husari ini amat terserlah kerana beliau perintis kepada rakaman 30 juzuk al-Quran iaitu pada tahun 1961. Perlu juga dihuraikan kenapakah rakaman al-Quran dilakukan ketika itu.

Ia merujuk kepada isu kristianisasi yang berlaku di benua Afrika. Universiti al-Azhar memberi perhatian serius isu ini dan menanganinya dengan menghantar para pendakwah dan buku-buku ke sana.

Namun perkara ini dirasakan belum cukup kerana keterbatasan bilangan pendakwah dan kesukaran masyarakat setempat tidak memahami bahasa Arab. Lantas mereka memutuskan untuk merakamkan al-Quran 30 juzuk dan dihantar untuk menjadi bahan dakwah, pengajaran dan mendekatkan mereka dengan al-Quran.

Tugasan yang berat ini diberikan kepada seorang tokoh yang amat sesuai dengan kepakaran dalam bidang bacaan al-Quran yang mempunyai suara yang amat menarik ketika itu.

Beliau ialah Sheikh Mahmud Khalil al-Husari. Kesan daripada penghantaran pita rakaman bacaan al-Quran ini dapat dilihat dengan munculnya qari-qari dari benua Afrika yang membaca al-Quran dengan gaya taranum Sheikh al-Husari. Antara mereka ialah Sheikh Hady Toure yang mempunyai bacaan seumpama Sheikh al-Husari amat merdu dan menusuk kalbu.

ANTARA bacaan Sheikh Khalil al-Husari yang terdapat dalam Mp3.

MOTIVASI ANAK MENGHAFAL

Dalam mendidik anak, Sheikh al-Husari amat menitik beratkan pengajian al-Quran. Salah seorang anaknya menceritakan bahawa: “Ayah kami akan memberi hadiah duit jika dapat menghafal satu baris al-Quran. Dan jika kami mahukan duit lebih, ayah kami bertanya apa yang yang kamu hafal pada hari ini? Jika ada hafalan dan beliau berpuashati dengan hafalan tersebut, beliau akan memenuhi permintaan kami”.

Moralnya, beliau mahukan anak-anaknya menghafaz al-Quran sehingga mereka peroleh keredaan Allah dan keredaan ibu bapa. Kesannya ialah semua anak-anaknya menghafaz al-Quran.

Bacaan Sheikh al-Husari mempunyai kelebihan tersendiri dengan tarikan kepada suaranya dan rentak lagunya yang menusuk kalbu.

Secara peribadi saya pernah bertanya kepada seorang saudara baru di akhir 80-an kenapakah memeluk agama Islam?

Beliau berkata, kerana mendengar bacaan Sheikh al-Husari yang satu ketika dahulu selalu disiarkan dalam radio satu tepat 12 tengah malam.

Setiap malam beliau menunggu pukul 12 untuk mendengar bacaan Sheikh al-Husari, walaupun tidak memahami makna al-Quran namun bacaan tersebut menambat hatinya dan akhirnya beliau mengucap syahadah.

Tusukan kalbu ini berlaku dalam beberapa program Sheikh al-Husari semasa melakukan lawatan ke Perancis pada 1965.

Dalam lawatan itu, beliau membaca al-Quran dalam satu majlis yang diadakan dan seramai 10 orang mengucap syahadah selepas mendengar bacaannya. Hal yang sama berlaku pada 1973 semasa melakukan lawatan ke Amerika Syarikat, seramai 18 orang mengucap syahadah selepas mendengar bacaannya.

Selain itu, Sheikh al-Husari diberi kemuliaan dengan membaca al-Quran pada hari wukuf di Arafah di Masjid al-Namirah. Beliau juga diberi penghormatan membaca al-Quran di Masjid Nabi.

Kemuliaan ini adalah pengiktirafan kepada sumbangannya yang besar dalam pengajian al-Quran.

Beliau mewakafkan sepertiga hartanya untuk khidmat kepada al-Quran. Satu amalannya yang tidak dibuat oleh yang lain ialah menghadiahkan setiap tetamunya satu mushaf.

Sehinggalah anaknya Yasmin Khayyam pernah berjumpa dengan seorang pembesar Mesir yang sedang membaca al-Quran memaklumkan kepadanya mushaf yang dibacanya adalah hadiah pemberian ayah beliau semasa dia menziarahinya satu ketika dulu.

Sheikh al-Husari meninggal dunia pada 24 November 1980. Amat beruntung Qurra yang telah meninggal dunia tetapi bacaan al-Qurannya masih dikumandangkan.

Prof Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN