Mukadimah
Namanya jarang didendangkan, namun realiti di sebalik itu, ia adalah sebuah entiti yang sangat proaktif dalam usaha memperkasa sosioekonomi Islam seantero dunia.
Lebih mengujakan, ia bertindak sebagai ‘jambatan’ yang menghubungkan dunia Islam dengan komuniti bukan Muslim di persada global sehingga berjaya menarik pelaburan bernilai lebih AS$1 bilion pada 2013.
Entiti dimaksudkan ialah Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) dipengerusikan TUN MUSA HITAM yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri.
Persoalannya, sejauh mana gerak kerja WIEF memberi impak, dan apakah implikasi usaha-usaha mereka?
Dalam pertemuan wartawan Utusan Malaysia, FAHMI FAIZ dengan Musa di kediamannya di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau menjelaskan lebih lanjut tentang WIEF.
WIEF pada asalnya dikenali sebagai Forum Perniagaan Pertubuhan Kerjasama Islam Sedunia (OIC). Pertemuan pertama delegasi sedunia bagi forum ini ialah pada 2003 di Putrajaya. Kemudian semasa Forum Perniagaan OIC kedua di Kuala Lumpur pada 2004, diputuskan untuk menamakannya sebagai WIEF.
Penubuhan WIEF bertujuan memperkukuhkan perniagaan dan kerjasama ekonomi antara negara-negara anggota OIC.
Pada masa sama, penggantian nama Forum Perniagaan OIC kepada WIEF bermatlamat mendorong penyertaan ahli akademik, ahli perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti Muslim dari negara-negara bukan OIC, sekali gus mencerminkan agenda yang bersifat universal.
SEJAUH MANA OBJEKTIF TERCAPAI?
Objektif WIEF sejak penubuhannya tidak pernah berubah merangkumi beberapa perkara penting membabitkan kebajikan sosioekonomi Muslim di persada global.
Bagi mencapai agenda itu, pertama sekali kita ingin meningkatkan kesejahteraan ekonomi negara-negara Islam dengan mendorong peluang perdagangan dan perniagaan, bukan hanya antara mereka sendiri tetapi juga seluruh dunia.
Kita juga mempunyai matlamat untuk mempamerkan dunia Islam sebagai platform perdagangan dan pelaburan menguntungkan, di samping mampu menarik pelabur asing dan rakan niaga dari seluruh dunia.
Selain itu, WIEF juga bermatlamat mempromosi dialog dan memupuk kerjasama antara semua ahli perniagaan dari seluruh dunia. Ini kerana kolaborasi amat penting untuk hubungan antarabangsa abad ke-21. Ia dapat menjadi jambatan sejati ke arah keamanan dan kesejahteraan antara dunia Islam dengan
bukan Islam.
PENYERTAAN PUTERA CHARLES, MUAMMAR GADDAFI
Program WIEF menyaksikan penyertaan ramai pemegang taruh dari seluruh dunia termasuk pakar industri, pemimpin kerajaan serta kumpulan profesional daripada pihak kerajaan mahupun swasta.
Dalam forum pada 2003 misalnya, tokoh-tokoh seperti Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika itu, Kofi Annan menyampaikan ucapan khas dan Presiden Filipina, Gloria Arroyo adalah penceramah khas.
Dalam program sama, lima pemimpin dunia turut menyampaikan ucapan. Mereka ialah Jeneral Pervez Musharraf (Pakistan), Leftenan Jeneral Omar Hassan Ahmad Al-Bashir (Sudan), Sulejman Tihic (Bosnia Herzegovina), Muammar Gaddafi (Libya) dan Islam Karimov (Uzbekistan). Sejak itu, menjadi satu kemestian bagi WIEF untuk menampilkan barisan kepimpinan dunia dalam forumnya.
Antara forum WIEF yang dianggap paling berjaya adalah yang dianjurkan pada 2013. Forum kesembilan itu yang berlangsung dari 29 hingga 31 Oktober 2013, dianjurkan sepenuhnya oleh WIEF.
Ia melibatkan tokoh-tokoh besar dunia termasuk Putera Charles, Sultan Brunei dan Perdana Menteri United Kingdom pada waktu itu, David Cameron.
Forum tersebut dihadiri oleh 17 pemimpin dunia, 200 panelis dan lebih 2,700 perwakilan dari 128 negara. Waktu itu, kita berjaya menandatangani memorandum kerjasama bernilai AS$1.08 bilion.
HARAPAN
Sejak 2018, WIEF ‘menyepikan diri.’ Keadaan menjadi lebih getir apabila pandemik Covid-19 melanda dunia sejak awal 2020.
Kami membuat perancangan rapi untuk mengadakan forum di Doha pada 2020 tetapi malangnya, dunia dilanda pandemik. Namun, berbekalkan azam untuk mengemudi bahtera WIEF meskipun berdepan pelbagai kekangan, kami komited merangka dan menganjurkan beberapa inisiatif baharu di samping terus menjalankan inisiatif sedia ada.
WIEF akan terus menganjurkan program maya, hibrid dan fizikal bagi 2021 dan ini bertepatan dengan dasar digitalisasi kami. Adalah menjadi harapan WIEF untuk terus mendedikasikan kudrat agar berjaya menjangkau dan melibatkan masyarakat global di pelbagai latar peringkat.









