Puas hati pematuhan murid - Utusan Malaysia

Puas hati pematuhan murid

Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berbual dengan seorang murid semasa membuat lawatan mengejut di sebuah sekolah di Putrajaya, semalam. – Gambar Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Ji­din berpuas hati dengan tahap pematuhan murid pada hari pertama sesi persekolahan mula dibuka di seluruh negara semalam.

Malahan, beliau juga gembira mendapati ramai ibu bapa akur menghantar anak mereka khususnya murid Tahun 1 setakat luar pagar sekolah.

“Kalau dulu, ada ibu bapa hantar sampai pintu bilik darjah dan tunggu di luar kelas sambil lihat anak di tingkap tetapi hari ini, tiada lagi dan semua dilihat patuh norma baharu,” katanya dalam sidang akhbar selepas maj­lis Ama­nat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seramai 1,107,095 murid prasekolah, tahun 1 dan 2 kohort 2021 mula bersekolah secara bersemuka selepas 40 hari belajar melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Sementara 1,645,159 murid tahun 3, 4, 5 dan 6 pula bermula pada 8 Mac ini, manakala 2,036,179 murid sekolah menengah kohort 2021 akan bersekolah pada 4 dan 5 April ini.

Radzi turut menceritakan pengalamannya membuat tinjauan secara mengejut di Sekolah Kebangsaan Presint 5 (1) dan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1).

“Alhamdulillah, saya lihat ramai patuh prosedur operasi standard (SOP) tanpa banyak kerenah dan seminggu ini disusun bagi membiasakan mereka dengan suasana di sekolah,” katanya.

Beliau juga meminta guru besar untuk membuat kaedah penyuraian murid yang bersesuaian agar tidak berlaku kesesakan teruk selepas waktu persekolahan seperti berlaku tahun lepas.

Kementerian ujarnya, bahkan menerima banyak pandangan daripada ibu bapa yang prihatin dan bimbang jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan pelajar akibat kurang mematuhi SOP.

“Insya-Allah, kita beri kelonggaran kepada guru besar untuk menentukan cara penyuraian trafik yang terbaik dengan berpandukan pelbagai model mengikut kapasiti murid,” kata Radzi.

Menyentuh isu PdPR, beliau berkata, kaedah digunakan selepas ini lebih kepada kesesuaian sekolah dan murid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini