MUKADIMAH
AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DATUK SERI MOHD. REDZUAN MD. YUSOF atau lebih mesra disapa Pak Wan sepanjang sesi temu bual sesi bersikap begitu bersahaja. Namun, sesekali tegas apabila menyatakan pendiriannya mahu melihat bangsa Melayu berjaya dan mendapat tempat di negara sendiri.
Baginya, baik politik, perniagaan atau sebagainya, orang Melayu perlu berada di landasan teratas agar tidak dipandang hina oleh bangsa lain.
Walaupun baru lima tahun berjinak dalam politik, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, FAISOL MUSTAFA, menyatakan hsrat untuk melihat barisan kepimpinan Bersatu, UMNO dan Pas bersatu hati menjunjung agenda negara agar usaha melestarikan pembangunan dapat dijayakan.
Melalui usaha itu, bangsa Melayu dapat bersatu yang akhirnya membawa keuntungan kepada kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara.
Ikuti temu bual di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.
UTUSAN: Apa cabaran dan perkembangan terbaharu?
MOHD. REDZUAN: Tugas paling besar dan mencabar adalah memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) untuk menyelaras pembangunan ekonomi bumiputera dan pembangunan ekonomi negara yang berpaksi perkongsian adil dan saksama menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dilancarkan semula oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (semalam) di Kota Kinabalu, Sabah. WKB 2030 yang dirancang oleh Muhyiddin telah diangkat oleh negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sebagai Wawasan Putrajaya 2040 bagi visi baharu dalam membentuk masa hadapan negara-negara terbabit. Ini satu pengiktirafan yang dibukukan dan diterima pakai untuk merapatkan jurang pendapatan dan ekonomi.
Ia akan membuka cabaran dari sudut memberi peluang pekerjaan, mewujudkan industri baharu, memberi bantuan kewangan dan mempercepatkan pembangunan ekonomi.
Baru-baru ini, Perdana Menteri juga melancarkan Mydigital bagi menaik taraf masyarakat luar bandar. Cara ini akan meningkatkan kadar pendapatan minimum, sekali gus mengurangkan jumlah penduduk miskin.
Bolehkah dicapai kerana Wawasan 2020 pun gagal?
Ia memerlukan penglibatan menyeluruh dan tiada kementerian yang bekerja secara silo, selain perlu memahami matlamat kerajaan. Ia pasti boleh dicapai terutama untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.
Sudah setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara. Pencapaian dari sudut politik dan ekonomi?
Saya boleh katakan kita menghadapi dua isu besar dalam satu masa pada awal tahun lalu iaitu penularan pandemik Covid-19 dan kerajaan Perikatan Harapan (PH) tumbang sehingga tertubuhnya PN.
Kita juga sedar, sejak awal sehingga hari ini masih lagi wujud usaha untuk menggagalkan pentadbiran PN. Ada sahaja usaha yang menjurus kepada kejatuhan kerajaan hari ini.
Dalam tempoh setahun ini PN telah banyak menunaikan tanggungjawab dan saya rasa ia diterima baik oleh rakyat. Namun, penting untuk kerajaan lihat dari sudut kelestarian iaitu sama ada mampu meneruskan bantuan prihatin sekiranya pandemik berterusan. Itulah sebabnya langkah-langkah pencegahan kita ambil hari ini dalam memastikan adanya kelestarian dan kesejahteraan kepada rakyat.
Pada masa sama, kita utamakan pertumbuhan ekonomi negara kerana itu prosedur operasi standard (SOP) diwujudkan sebagai pemudah cara dalam memastikan pergerakan yang melibatkan pembangunan ekonomi selain memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencapai setidak-tidaknya 70 hingga 80 peratus penerima vaksin.
Kejayaan kerajaan juga perlu diukur menerusi perjanjian bilateral yang membolehkan Malaysia sebagai antara negara terawal menerima bekalan vaksin.
Sejak pandemik, pelaburan dalam negara berkurangan lebih 60 peratus dan apabila program vaksinasi ini berjaya, maka mudahlah untuk negara menerima pelabur dari luar dengan fokus kepada pelaburan bernilai tinggi. Kita mahu mengembalikan semula zaman kegemilangan Malaysia yang pada ketika itu berjaya mencapai nilai pelaburan sebanyak 300,000 ke 500,000 per kapita pekerja.
Walaupun ia adalah cabaran ketika pandemik ini, namun usaha kerajaan mewujudkan gelembung perjalanan atau travel bubble membantu meningkatkan ekonomi negara. Dalam kita kerap berbincang dari sudut pembangunan ekonomi, sistem pembelajaran, latihan, meningkatkan kepakaran dan lain-lain juga dibincang. Sebab tanpa semua ini, tiadalah ekonomi.
Kerajaan hari ini dikatakan gagal berikutan banyak tuntutan supaya diadakan segera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Komen?
Cabaran hari ini adalah untuk memastikan Covid-19 tidak terus menular. Seboleh mungkin, kita mahu mempercepatkan kestabilan politik untuk menarik pelabur luar dan dalam. Pun begitu, syarat untuk melabur adalah kestabilan negara.
Sayangnya, pandemik ini membahayakan kesihatan dan nyawa rakyat. Selagi ia tidak dibendung, selagi itu tidak boleh buat PRU. Justeru, program vaksinasi negara perlu dipercepatkan. Jadual imunisasi dijangka mencapai sasaran sekitar Mac tahun depan. Setelah itu, baharulah rakyat selesa untuk mengundi.
Adakah ini bermakna PRU-15 akan diadakan Mac tahun depan?
Ia boleh disamakan dengan garis masa jangkaan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Namun, jika vaksinasi ini berjaya mencapai sasaran lebih awal, mungkin (PRU) diadakan lebih awal. Siapa tahu?
PERGOLAKAN, LOMPAT PARTI
Benarkah ada pergolakan dalam PN?
Kita belum duduk semeja sebenarnya untuk mencapai satu objektif yang jelas. Yang kita dengar adalah suara-suara pemimpin parti politik yang tidak pasti tujuannya. Saya sendiri tidak faham.
Mereka perjelaskan perasaan sama ada mahu kerjasama atau tidak.
Saya amat terbuka. Dalam keadaan hari ini, kita perlu mengukuhkan posisi. Perlu sedar bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN), PN atau PH tertubuh kerana ihsan parti yang dinampakkan sebagai pembawa kepada ideologi perkauman. Maksudnya, PN tidak wujud tanpa ihsan daripada MCA, MIC. PH tidak terbentuk tanpa DAP. Begitu jua BN. Jadi, bagi saya ini adalah peluang besar untuk memperbetulkan semula landskap politik negara. Tidak salah untuk saya katakan, kita wujudkan sistem dua parti.
Pemimpin mesti menunjukkan sifat integriti, mentadbir yang tinggi (governance), melawan rasuah dan menjunjung Perlembagaan. Pada masa sama, institusi diraja perlu dikekalkan. Jika mahu wujudkan sistem dua parti, ia perlu dibawa ke dewan (Parlimen) untuk diluluskan. Contohnya, akta lompat parti. Barulah kita ada kestabilan politik untuk jangka sederhana dan panjang.
Tidak bersetuju dengan ‘drama’ lompat parti?
Saya tidak setuju. Saya dahulu bukan lompat parti kerana Bersatu ketika itu tidak bersetuju dengan pentadbiran PH. Ia adalah keputusan parti, bukan individu. Mengkhianati parti dan perjuangan itu berbeza.
Agak ramai pemimpin UMNO beralih arah ke Bersatu. Adakah ini bermakna parti itu tidak lagi relevan?
UMNO masih relevan, namun naratif yang dibawa hari ini sedikit terjejas disebabkan impak. Contohnya, kluster mahkamah yang mengundang kepada perpecahan.
Mengapa Bersatu terima mereka?
Ada dakwaan mengatakan sebilangan mereka memberi sokongan kerana mengejar jawatan tetapi tiada siapa tahu niat sebenar mereka. Pun begitu, ia menjadi peluang untuk membawa satu ideologi penyatuan Melayu-Islam.
Apabila Bersatu, UMNO dan Pas berganding bahu, maka boleh membentuk dua pertiga majoriti yang akan membawa kemenangan kepada seluruh rakyat berpaksikan demokrasi dan Perlembagaan.
UMNO masih berkeras memutuskan hubungan dengan Bersatu. Bagaimana mahu mencapai kestabilan politik?
Ia hanya melibatkan sebilangan kecil yang mungkin mempunyai kepentingan sendiri. Ini kerana budaya UMNO yang berusia 60 tahun telah sebati dalam diri. Jadi, perlunya pemikiran baharu dan lihat semula tujuan memasuki arena politik sama ada mahukan penyatuan, pelaksanaan dasar, ekonomi atau apa sahaja. Jika masih bertelagah sehingga berpecah, maka susah hendak capai matlamat itu.
Bumiputera pada masa kini jauh tertinggal ke belakang. Jika tiada tindakan, golongan ini akan terus ketinggalan. Kaum bumiputera diunjurkan cuma terlibat kurang daripada lima peratus dalam ekonomi negara. Hari ini telah pun menyusut di bawah 10 peratus.
Bagaimana pula dengan Pas?
Belum begitu jelas. Saya pun tidak memahami keputusan mereka. Yang pasti mereka telah menandatangani perjanjian dengan PN dan pada masa sama mempunyai piagam dengan UMNO dalam membentuk muafakat. Mungkin mereka turut berusaha untuk penyatuan UMNO, Bersatu dan Pas.
Isu perebutan kerusi. Bagaimana PN mahu selesaikan?
Isu kerusi ini banyak spekulasi dan setahu saya masih belum ada perbincangan mengenai perkara ini. Perbezaan pendapat memberi persepsi kurang baik kepada rakyat.
Bagi saya tiada masalah. Kerusi perlu diberikan kepada pihak sepatutnya mengikut margin kemenangan. Jangan ambil hak orang lain supaya tidak wujud pertembungan. Tidak payahlah bertengkar untuk mempertahankan sesuatu atas sebab menang tempoh hari atas tiket parti lain. Dalam kata lain, kerusi perlu diserahkan kepada parti dan bukan individu.
Nampaknya agak sukar menyatukan parti dalam PN. Adakah ini bermakna parti Melayu yang dilaungkan hanya retorik?
Saya akan pastikan ketiga-tiga ini bersatu dalam jalinan kerjasama untuk membangunkan ekonomi Melayu yang jauh ketinggalan di belakang melalui satu gagasan dan ia akan lebih kuat. Kita mahu menjemput UMNO dalam usaha ini.
Maknanya betullah kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, Bersatu perlukan UMNO dan sebaliknya?
We need each other. Kalau lihat dari sudut membentuk kerajaan pada PRU-15, masih tiada satu parti yang boleh mendominasi kerana sudah ada perpecahan. Oleh kerana itu, kita mahu satukan semula.
60 tahun BN memerintah sudah pastilah banyak dasar yang baik dibentuk tetapi pelaksanaannya tidak memberi impak seperti yang disasarkan seperti contoh Dasar Ekonomi Baru apabila penyertaan bumiputera masih lagi ketinggalan.
Harapan Datuk Seri?
Harap PN terus diberi mandat dalam satu bentuk gagasan yang disertai UMNO kerana parti itu masih lagi relevan. Yang merosakkan UMNO hanyalah sebilangan kecil pimpinan yang terpengaruh dengan perkara tidak menguntungkan seperti amalan rasuah.
UMNO berjaya membentuk persepsi Melayu yang hanya tertumpu pada satu baldi yang menjadi perebutan hingga timbul budaya meminta-minta (rasuah) untuk mendapatkan projek. Ketirisan ini menjadi budaya.
PN akan terus menentang amalan rasuah melalui perbezaan antara kuasa eksekutif dan legislatif iaitu separation of power, selain perlu tegas dan tetap pendirian dalam memastikan perkara ini tidak berulang dalam pentadbiran negara.
Datuk Seri pertahankan kerusi Alor Gajah?
Insya-Allah, jika diberi kepercayaan lagi oleh pimpinan tertinggi atau Presiden Bersatu. Pada masa ini, penerimaan rakyat masih ada cuma perpecahan dalam kelompok pengundi Melayu perlu diperbaiki.
Saya perlu bekerja keras jika ada pertembungan tiga penjuru. Saya dengar PH mungkin akan letak calon Melayu dan ini menyebabkan perpecahan dalam kalangan pengundi Melayu. Yang penting sekarang adalah undi bukan Melayu yang memberi kelebihan kepada calon yang mesra dengan mereka.
Di kawasan saya ada sebanyak 70,000 penduduk. Berdasarkan keputusan PRU-14, jumlah pengundi Melayu yang keluar mengundi adalah 35,896 yang menjadikan undian pengundi Melayu lebih daripada 60 peratus. Oleh itu, saya harus bekerja lebih kuat untuk memastikan undi Melayu berpihak kepada saya kerana sebelum ini saya menang bukan sepenuhnya daripada pengundi Melayu.










