MAHU bertanding di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, malah Putra sudah pun mengumumkan mereka sudah ada calon Menteri Besar jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengumuman itu dilihat sesetengah pihak sebagai terlalu bercita-cita terlalu tinggi, tidak sepadan dengan status sebagai sebuah parti baharu seperti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Namun, mengambil inspirasi daripada kejayaan sebuah parti baharu, parti Warisan yang menang banyak kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Putra yakin parti itu mampu membuat kejutan di Perak dalam PRU-15.
Apa yang jelas, strategi Putra ialah mengambil kesempatan daripada keadaan tidak menentu hubungan sesama parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terus bercakaran sesama sendiri walaupun di bawah satu kerajaan.
Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman optimis jika strategi yang dirancang menjadi, tidak mustahil Putra mampu melakar kejutan di Perak, malah kehadiran Putra mampu menggugat parti yang jauh kukuh dan tersusun organisasi akar umbinya termasuk UMNO.
“Dalam keadaan politik yang tidak menentu di pihak kerajaan hari ini, tiada apa yang mustahil. Kalau kita lihat kekalutan politik apa yang jadi pada Barisan Nasional (BN) dan PN, walaupun mereka satu kerajaan tapi berbalah.
“Contohnya di Perak, saya dapat maklumat mereka tak sehaluan dan dalam keadaan hari ini kita sudah tengok mereka memerintah, jadi saya rasa tak jadi ganjil kalau wadah yang kita persembahan nanti boleh tarik pengundi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengambil inspirasi parti Warisan, Hamidah berkata, tiada siapa yang menjangka parti baharu tersebut boleh menang banyak kerusi malah tiada siapa yang menduga kubu kuat UMNO iaitu Sabah boleh tumbang kerana sebuah parti baharu.
“Bayangkan Sabah kubu kuat UMNO pun boleh roboh kepada sebuah parti yang baharu kerana parti itu berjaya membawa wadah yang diterima rakyat.
“Jangan pandang rendah keupayaan Putra malah berdasarkan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Putra boleh lakukan sesuatu dalam PRU-14 nanti.
Menurut Hamidah, Putra telah mengenal pasti calon yang berpotensi untuk bertanding atas tiket parti itu yang terdiri daripada golongan agamawan, profesional dan ahli politik juga golongan muda yang berusia lingkungan 20-an.
Malah, Putra akan memastikan calon muda sentiasa mendapat tempat dan memastikan 50 peratus calon berusia bawah 50 tahun.
Ditanya mengenai calon menteri besar dari parti itu, Hamidah berkata, beliau sudah mempunyai calonnya, namun belum sedia mengumumkannya.
“Dalam politik, adalah penting untuk rakyat tahu siapa calon pemimpinnya, siapa Menteri Besar sebagai peneraju jika menang pilihan raya.
“Kalau sekadar letak calon tapi tak ada perancangan mengenai siapa menteri besarnya, kita akan gagal, kalau nak mentadbir kena betul-betul boleh mentadbir, mesti ada target,” katanya. – UTUSAN











