Koperasi dan kebajikan Masjid Tuan Guru Tanjong Tokong pelbagaikan fungsi masjid - Utusan Malaysia

Koperasi dan kebajikan Masjid Tuan Guru Tanjong Tokong pelbagaikan fungsi masjid

BARANG-barang yang terdapat di My TGT Food Bank di Masjid Tuan Guru Tanjong Tokong, Pulau Pinang .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID berasal daripada perkataan sajada yang bererti tempat sujud. Selain sebagai tempat ibadah bagi umat Islam, masjid juga merupakan pusat kehidupan umat Islam.

Sebagai pusat kegiatan ummah tentunya masjid mempunyai fungsi yang pelbagai, antaranya fungsi keagamaan, fungsi pendidikan, fungsi ekonomi, fungsi sosial, fungsi politik dan sebagainya serta menjadi tugas umat Islam untuk mengimarahkan masjid agar ia sentiasa hidup.

Menurut Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al Bakri di dalam artikel Bayan Linnas Siri ke-206 yang bertajuk ‘Pengimarahan Masjid Tugas Kita’, pengimarahan masjid memberi dua maksud yang perlu dipelihara dan dilaksana iaitu secara zahir dan fizikal.

Ia memberi maksud membina, mengislahkan serta menjadikan masjid begitu menarik, amat gemar dikunjungi dalam melakukan ibadat.

Manakala yang kedua, batin dan hakikatnya memberi maksud mengimarahkan masjid dengan pengisian kerohanian, ilmu dan suasana yang penuh dengan maksud asalnya iaitu tempat sujud dan tempat beribadat.

Dengan itu, akan menarik sejumlah jemaah bagi melaksanakan perintah Tuhan.

Selain itu, pentingnya untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti turut ditekankan oleh Nabi Muhamad s.a.w di mana ketika baginda berdakwah, masjid mempunyai pelbagai fungsi dan menjadi pusat peradaban Islam.

Malah, Rasulullah SAW pula menyebut mengenai kelebihan bagi mereka yang membangunkan masjid seperti sabdanya: Barang siapa yang membangun rumah Allah (masjid) di dunia, maka Allah membangunkannya rumah di syurga. (Riwayat Muslim).

Bertitik tolak daripada itu, Jawatankuasa Masjid Tuan Guru di Tanjong Tokong, Pulau Pinang di sini, sepakat menubuhkan Koperasi Kariah Masjid Tuan Guru untuk mengembangkan lagi fungsi masjid dalam kalangan umat Islam.

Iklan program My TGT Food Bank.

Menurut Ahli Lembaga Koperasi Kariah Masjid Tuan Guru, Hassan Bakar, koperasi itu ditubuhkan pada Julai 2020 dengan 150 ahli setakat ini.

Hassan yang juga Pengurus MTG Halal Mart (Kedai Koperasi) berkata, penubuhan koperasi di Masjid Tuan Guru merupakan idea bekas Pengerusi Jawatankuasa masjid berkenaan, Abdul Rashid Khalid. Ia bagi mengembangkan ekonomi masjid berkenaan serta memudahkan umat Islam untuk menginfakkan harta mereka bagi tujuan kebajikan.

Selain itu, katanya, barang-barang keperluan harian yang dijual di MTG Halal Mart itu juga merupakan barangan keluaran peniaga Muslim memandangkan MTG Halal Mart itu menekankan kepada penjualan barangan halal serta dijamin bersih.

“Sebelum ini, selama dua tahun masjid ini mempunyai produk air mineral sendiri yang kita jual pada harga RM1 dan kemudian hasilnya diagihkan untuk tujuan kebajikan.

“Jadi, jawatan kuasa masjid terfikir idea untuk mengembangkan lagi usaha kebajikan ini dengan menubuhkan koperasi masjid ini.

“Ia bertujuan agar usaha dakwah kebajikan serta perkembangan ekonomi masjid bersama penduduk setempat dapat terus berkembang seiring dengan keperluan umat Islam mendapatkan barangan halal,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

10 SEN DARIPADA BELIAN MASUK TABUNG MASJID

Menurut Hasan setiap barangan yang dibeli di MTG Halal Mart itu, 10 sen daripadanya akan dimasukkan ke dalam tabung infak masjid berkenaan.

“Setiap bulan kita akan kumpul sumbangan infak daripada pembelian barangan di MTG Halal Mart dan kemudiannya akan membeli barangan keperluan asas di kedai koperasi kita untuk diserahkan kepada golongan yang memerlukan.

“Gerakan kebajikan ini dilaksanakan oleh biro kebajikan masjid ini yang setiap bulan akan mencari 20 keluarga yang memerlukan bantuan di sekitar kariah Tanjong Tokong

“Selain membeli barangan di koperasi ini, orang ramai juga dapat bersedekah dengan lebih mudah menerusi kaedah yang kami laksanakan ini,” katanya.

 

Hassan Bakar menyusun barang-barang makanan di dalam stor MTG Halal Mart.

Ujarnya, ahli-ahli koperasi juga memperoleh manfaat melalui koperasi itu dengan berpeluang membeli barang keluaran umat Islam dan dapat bersedekah melalui barang yang dibeli di kedai koperasi itu.

Tambahnya, selain barangan keperluan asas di MTG Halal Mart itu juga, pengusaha pelbagai produk makanan sejuk beku seperti kuih-muih, boleh meletakkan barangan jualan di kedai koperasi berkenaan untuk memudahkan orang ramai membeli produk berkenaan.

Dalam pada itu, Setiausaha Masjid Tuan Guru yang juga Pengerusi Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan, Zaidi Noordin berkata, selain penubuhan koperasi untuk mengembangkan ekonomi umat Islam, jawatankuasa masjid itu juga memperkenalkan MY TGT Food Bank bagi membantu keluarga dan orang ramai yang terputus bekalan makanan.

Katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula tahun lalu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Kariah Masjid Tuan Guru, Tanjong Tokong menerima lebih 10 panggilan telefon mereka yang memohon bantuan akibat terputus bekalan makanan.

Oleh itu, jawatankuasa masjid berkenaan mengambil inisiatif menubuhkan MY TGT Food Bank di Masjid Tuan Guru dan Masjid Karwa di Tanjong Tokong bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan makanan.

“MY TGT Food Bank ditubuhkan sejak tiga bulan lalu bagi memudahkan orang ramai yang terputus bekalan makanan mengambil keperluan mereka di situ.

“Mereka yang benar-benar memerlukan boleh berhubung dengan penyelaras MY TGT Food Bank di talian 017-468 1208 atau 014-741 3748 bagi mendapatkan makanan yang diperlukan,” katanya.

Sambutan orang ramai dalam membantu MY TGT Food Bank amat memberangsangkan.

Mereka turut menyumbang bekalan bantuan makanan asas untuk diletakkan peti makanan di situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN