HULU TERENGGANU: Pasangan kembar tiga seiras berumur lima tahun dari Kampung Kepah di sini, teruja memulakan sesi persekolahan 2021 hingga sanggup tidur dengan memeluk beg sekolah masing-masing, semalam
Malah, Maisarah Athirah Mohd. Surhan di samping dua adiknya, Maisarah Adriana dan Maisarah Adlina turut bangun seawal pukul 6 pagi dan bersiap ke taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Kemas yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka.
Ibu mereka, Masuze Yusif, 36, berkata, anak-anaknya bersemangat untuk ke tabika sebaik sahaja diberitahu tentang pengumuman sekolah dibuka dan sejak semalam ketiga-tiganya tidak berenggang dengan alat tulis masing-masing
“Malam tadi adalah kemuncaknya apabila mereka bersama-sama menyarung pakaian seragam dan menggalas beg seolah-olah sudah mahu ke sekolah hingga mencuit hati kami sekeluarga.
“Selain itu, mereka juga tidur awal kira-kira pukul 10 malam kerana bimbang lewat ke sekolah dan sebelum pukul 7.30 pagi sudah berada di tabika,” katanya kepada pemberita semalam.
Masuze berkata, walaupun sudah biasa mengendalikan persekolahan tiga anak yang terdahulu tetapi menguruskan kembar tiganya kali ini memberikan pengalaman berbeza.
Ibu kepada enam anak itu berkata, dia turut mendapatkan bantuan anak perempuannya yang berusia sembilan dan 13 tahun untuk memudahkan urusan menyiapkan pasangan kembar berkenaan. – UTUSAN











