PETALING JAYA: Pengaruh media sosial yang berjaya memburukkan imej UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi punca kepada kejatuhan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.
Justeru, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa kesemua pemimpin dan ahli parti terus berjuang menegakkan kebenaran demi rakyat.
“UMNO dan BN sedar antara punca gabungan parti itu tewas PRU-14 pada 9 Mei 2018 disebabkan pengaruh media sosial yang telah digunakan pihak lawan sebagai senjata memfitnah dan memburuk-burukkan parti.
“Kita perlu memanfaatkan media sosial sebagai platform menyalurkan maklumat yang tepat tentang UMNO dan BN dan terus memperkasakan parti keramat ini dengan fakta dan kebenaran, mencantas kebatilan dan tipu daya pada kos paling minimum. Ini kali kita all out,” katanya dalam catatan di akaun Facebook beliau semalam.
Selain itu, Ahmad Zahid tidak gentar dan yakin rakyat mampu membezakan maklumat mengenai parti itu sama ada boleh dipercayai atau tidak.
“Saya yakin rakyat semakin bijak dalam menilai pelbagai dakyah yang disalurkan kepada mereka di media sosial. Mereka sudah boleh tahu dan mula berkira-kira antara fakta dan dusta, pembohongan dan kebenaran.
“UMNO dan BN mungkin tiada peruntukan khusus sehingga lebih RM40 juta untuk tujuan itu namun saya yakin dengan keikhlasan dan semangat perjuangan seluruh jentera, ahli dan penyokong UMNO dan BN kita mampu,” jelasnya. – UTUSAN











