Curi wakil rakyat: ‘senjata makan tuan’ - Utusan Malaysia

Curi wakil rakyat: ‘senjata makan tuan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: PKR boleh dianggap hilang asas moral sekiranya mengutuk perbuatan dua Ahli Parlimennya keluar parti setelah parti itu terlebih dahulu menerima masuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Amanah Negara (Amanah) Johor.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, ia berikutan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong, dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, dari PKR menya­takan sokongan kepada kepimpinan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, PKR tidak sepatutnya melenting dengan tindakan dua ahli Parlimen itu tatkala PKR mencuri tiga ADUN di Johor, iaitu ADUN Senggarang, Khairuddin A. Rahim; ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Situasi curi-mencuri wakil rakyat ini mengingatkan saya kepada peristiwa hampir sama yang berlaku di Perak pada awal tahun 2009 dulu.

“Apa pun, saya amat setuju memang perlu diwujudkan akta anti lompat parti. Semoga ia dapat direalisasikan dalam waktu yang terdekat,” katanya semalam.

Kamarul Zaman berkata, peristiwa sama pernah berlaku apabila PKR mencuri ADUN UMNO Bota, Nasarudin Hashim, pada 25 Januari 2009 yang kemudiannya berakhir dengan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak terguling.

“Ia apabila dua ADUN PKR, iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Mohd. Jailu yang diikuti oleh ADUN DAP Jelapang, Hee Yit Foong, bersama-sama tindakan u-turn ke UMNO balik oleh Nasarudin Hashim pada 4 Februari 2009.

“Tercatat dalam rekod betapa marahnya Pengerusi DAP waktu itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memulakan kempen untuk me­rebut kuasa di peringkat Pusat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan untuk memperkukuhkan kuasa di peringkat negeri pada tahun itu,” katanya.

Menurut beliau, DAP ketika itu menempelak Anwar me­lakukan kesalahan dalam memulakan satu kempen untuk merebut kuasa dengan kekuatan lompat parti.

Katanya, dalam situasi itu DAP turut melaungkan bahawa tindakan lompat parti perlu dijadikan sebagai satu kesalahan jenayah dan ia adalah peni­puan kepada rakyat selain menyebut sesiapa yang melakukannya perlu dimasukkan ke dalam penjara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini