PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai keterlaluan apabila menjadikan kuasa sebagai matlamat parti yang akhirnya menjadikan UMNO hilang arah tuju.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, kesan tindakan itu akan dilihat sebagai tidak berpendirian dan mudah dipergunakan oleh parti-parti saingan politik sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas atau lain-lain.
Menurut beliau, kegagalan Ahmad Zahid menguruskan parti termasuk terpalit dengan kes-kes mahkamah menyebabkan UMNO mudah dibuli oleh parti lain apatah lagi mewujudkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti sendiri.
“Persoalan yang perlu dijawab, apakah arah tuju UMNO sebenarnya?
“Apakah pembentukan UMNO pada 1946 hanya merupakan pertubuhan untuk mendapatkan kuasa atau ia permulaan kepada satu pembangunan tamadun Melayu, penerusan daripada apa yang telah dimulakan oleh Raja-raja Melayu dan pimpinan Melayu sebelum dan semasa zaman penjajah,” soalnya di sini semalam.
Ahmad Tajuddin berkata, Ahmad Zahid perlu melepaskan jawatan dan meninggalkan tanggungjawab itu sekiranya difikirkan tidak lagi mampu menguasai ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.
Katanya, itu pilihan pertama yang beliau boleh pertimbangkan atau memilih untuk terus mengekalkan jawatan itu dengan membuat pendirian tegas menolak kerjasama Perikatan Nasional (PN) termasuk memutuskan hubungan dengan Muafakat Nasional (MN).
Beliau berkata, jika Ahmad Zahid membuat pilihan itu, beliau harus berdepan apa jua pendakwaan di mahkamah sebagai cabaran untuk beliau hadapi demi kelangsungan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Ahmad Zahid perlu buat pilihan untuk BN terus bergerak ke hadapan dan pada masa sama menegaskan pendirian UMNO dan BN berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) secara bersendirian,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Komunikasi Strategik Penerangan UMNO menafikan laporan bahawa MT membuat keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu dan PN pada PRU-15. – UTUSAN










