KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepakat menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Keputusan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada UMNO mampu menang jika bertanding sendiri tanpa gabungan daripada parti Melayu lain seperti Bersatu pada pilihan raya tersebut.
Pas pula dikatakan meletakkan syarat supaya menerima Bersatu sekiranya UMNO ingin bergabung dengan parti Islam itu.
Dengan keputusan MT UMNO yang hanya perlu diluluskan dalam Perhimpunan Agungnya nanti, ia menunjukkan pertembungan melebihi dua penjuru mungkin berlaku dalam kalangan parti yang mengharapkan sokongan pengundi Melayu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, sumber berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat UMNO kelmarin yang mendapat sokongan penuh daripada kesemua ahli MT yang hadir.
Sumber itu berkata, mesyuarat berlangsung selama empat jam bermula pukul 8.30 malam itu hanya memfokuskan perkara tersebut dengan mendapatkan pandangan daripada kesemua ahli MT.
“Kita memang tidak bercakap isu lain, yang lama mesyuarat itu sebab semua orang beri pandangan menolak kerjasama dengan Bersatu.
“Ia bukan arahan Presiden, tetapi memang semua ahli MT menolak,” katanya semalam.
Difahamkan, beberapa pihak mencadangkan UMNO terus kekal bersama Bersatu sehingga PRU akan datang, namun dibantah kepemimpinan tertinggi parti.
Malah, terdapat juga pihak yang menggesa UMNO segera keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi dibantah oleh ahli MT yang lain.
Utusan Malaysia pada 4 Januari lalu melaporkan hampir kesemua bahagian UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.
Keputusan itu hadir selepas UMNO mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO Bahagian Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri yang berlangsung serentak di seluruh negara.
Pada 9 Januari lepas, MT UMNO dilapor menyerahkan kepada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) meluluskan usul penolakan kerjasama politik antara UMNO dengan Bersatu itu.
Dalam perkembangan sama, Ahli MT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut memaklumkan kepada Mingguan Malaysia bahawa 11 perhubungan negeri menolak kerjasama dengan Bersatu.
Menurutnya, ia adalah hasil turun padang beliau sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO yang perlu mendapatkan maklum balas daripada akar umbi mengenai perkara itu.
“Pendirian ketua bahagian telah disokong perwakilan yang menghadiri mesyuarat bahagian masing-masing baru-baru ini dengan meluluskan usul untuk menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15,” katanya. – UTUSAN









