SEREMBAN: Berpegang prinsip pembelajaran sepanjang hayat, bekas Timbalan Pengarah Tourism Malaysia, Salman Ahmad, 65, mengambil keputusan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
Beliau merupakan antara 645 calon persendirian yang menduduki peperiksaan itu di negeri ini dan hadir di pusat peperiksaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, dekat sini.
Menurut Salman, dia membuat keputusan mengambil SPM bagi mengukur kemampuan diri dan mengisi masa lapang di samping membuktikan faktor usia bukan penghalang menimba ilmu.
“Saya terfikir mengambil SPM kira-kira dua tahun lepas, sebab saya ada masa lapang sebagai pesara di Tourism Malaysia. Saya nak jadikan contoh kepada orang lain iaitu never too old to learn, itu juga menjadi falsafah hidup saya.
“Dulu saya ambil Malaysia Certificate Education (MCE) di Sultan Ibrahim School, Kelantan dan kali ini saya ambil SPM. Saya ambil bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Sejarah, kalau keputusan bagus nanti, saya akan ambil mata pelajaran lain,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Salman, selepas menduduki MCE pada 1973 itu, dia menyambung pelajaran di Institut Pendidikan Mara dalam Diploma Pentadbiran Awam dan kemudiannya bekerja selama enam tahun dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Katanya, dia kemudian menyambung pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Amerika Syarikat dan kemudian bekerja bersama Tourism Malaysia selama 23 tahun sebelum bersara pada tahun 2012.
Dalam pada itu, katanya, seperti calon-calon SPM lain, dia juga juga amat lega akhirnya dapat menduduki peperiksaan tersebut selepas ia tertangguh akibat penularan pandemik Covid-19.
“Saya sebenarnya sudah beli beberapa buku teks tahun lepas di kedai buku untuk menghadapi SPM, adik saya yang juga seorang guru turut membantu memberikan soalan-soalan lama SPM kepada saya sebagai rujukan.
“Itulah persediaan saya untuk duduki SPM, tidak seperti calon sekolah lain yang ada belajar secara dalam talian, tapi saya ada tengok beberapa kali saluran televisyen DidikTV baru-baru ini, bagus saluran itu, boleh bantu saya sedikit,” katanya yang turut pernah menjadi Pengarah Tourism Malaysia di Medan, Indonesia. – UTUSAN










