Pengambilan vaksin dituntut Islam - Utusan Malaysia

Pengambilan vaksin dituntut Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Hukum mengambil vaksin Covud-19 adalah harus selagi ia dipastikan tidak mengandungi bahan-bahan haram dalam penghasilannya.

Pensyarah Kanan Jabatan Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Dr. Muhamad Fadlly Ismail berkata, jika pengambilan vaksin ber­kenaan terbukti berkesan dalam mencegah penyakit serta tiada sebarang kemudaratan, hukum pengambilannya adalah dituntut.

Beliau berkata, ia menjadi kewajiban apabila pengambilannya ditetapkan pemerintah.

“Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ (59) yang bermaksud: ‘Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul serta (taatlah kamu) kepada golongan ulil amri daripada kalangan kamu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Muhamad Fadlly berkata, memberi suntikan vaksin adalah salah satu daripada cara mengawal penyebaran penyakit seperti mana hadis riwayat Ibn Majah yang bermaksud: “Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”

“Kepentingan yang paling utama adalah untuk melindungi diri, terutama bagi golongan berisiko tinggi. Menjadi kewajipan melindungi diri sendiri, seluruh keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, Syeikh al-Azhar dan Prof. Dr. Ahmad Tayyib melalui Hai’ah Kibar Ulama al-Azhar telah menghuraikan keharusan jika sekiranya penggunaan vaksin tersebut boleh menghilangkan Covid-19 atau menjadi ubatan.

Jelasnya, Majlis Fatwa Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) juga menyatakan kepada hukum wajib adalah ketika berlakunya wabak penyakit yang berjangkit.

“Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia yang bersidang pada 3 Disember lalu mengambil ketetapan hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib jika diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, Islam mempunyai prinsip dalam mendepani penyakit se­perti berdoa ke hadrat Allah SWT yang mana ia dilakukan dengan tujuan mengelakkan seseorang itu ditimpa penya­kit.

“Seperti mana hadis Nabi SAW bermaksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta, dan juga penyakit-penyakit berbahaya yang lain. Riwayat Abu Daud (1554),” katanya.

Selain itu katanya, Islam amat menitikberatkan soal pencegahan penyakit sebelum ia menimpa seperti mana hadis Nabi SAW bermaksud: “Dan hendaklah kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagai mana kamu melarikan diri dari singa.”

Katanya, Islam juga memberi penekanan kepada kepentingan merawat seperti mana hadis Nabi SAW bermaksud: “Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim (2004).

“Agama Islam juga mengajar kita agar menyerahkan segala urusan seterusnya kepada Allah SWT,” katanya.

Ini berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya (Surah Ali Imran Ayat 159). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN