Pas tidak kisah berapa ‘kolam’ - Utusan Malaysia

Pas tidak kisah berapa ‘kolam’

Muhammad Sanusi Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Kalau 10 ‘kolam’ sekali pun tak apa asalkan langkah itu membawa perpaduan dalam kalangan umat Melayu dan Islam.”

Itu penegasan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md. Nor ketika ditanya dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan keberadaan parti itu dalam dua ‘kolam’ politik iaitu Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Menurut beliau, perkara itu bagaimanapun tidak sepatutnya dipersoalkan kerana Pas ketika ini jelas membawa agenda politik perpaduan bagi mengelakkan umat Melayu dan Islam menjadi kecil kerana berpecah-belah kepada banyak parti.

“Politik dibawa Pas ini adalah politik perpaduan. Jadi tak perlulah sebut kolam itu dan ini memandangkan kolam-kolam itu tidak wujud kerana kita berada di bawah satu akidah.

“Tetapi kalau betul wujud kolam, 10 kolam pun kita renang asalkan membawa kepada penyatuan umat Melayu Islam. Kita boleh berkompromi dan berkongsi selagi membawa kebaikan kepada orang Islam dan Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini, semalam.

Menerusi wawancara disiarkan Utusan Malaysia kelmarin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad seakan memberi peringatan kepada Pas agar jelas dengan pendirian berada dalam dua kolam supaya tidak ‘kehilangan’.

Selain itu, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, pembahagian kerusi di Perak juga sepatutnya hanya dibincangkan antara UMNO dan Pas kerana piagam serta Majlis Ter­tinggi MN cuma menyebut tentang kedua-dua parti itu.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menambah, usaha untuk memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN merupakan dua matlamat gerak kerja Pas yang amat ditekankan dalam jangka waktu pendek kini.

Malah katanya, perundingan kerusi yang sedang berlangsung kini juga tidak mengambil kira soal ‘kolam’ seperti ditimbulkan segelintir pihak.

“Politik kolam ini orang tinggal lama dah sebab tak boleh pergi jauh. Jadi tak perlu kolam-kolam dah sekarang ini.

“Saya fikir pada masa sekarang rundingan agihan kerusi juga sudah lebih 60 peratus tanpa ambil kira soal kolam. Sebaliknya banyak lagi formula yang diguna pakai,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan pihak tertentu yang sengaja menimbulkan ke­tegangan untuk menyukarkan rundingan kerusi supaya menilai kembali matlamat asal penubuhan MN dan PN.

“Seeloknya tengok balik me­ngapa kita berada di sini. Adakah apabila kita berada dalam keadaan sekarang dan merasa selesa, kita mahu ajak semua pihak kembali ke tempat asal?

“Janganlah diajak orang lain balik kampung tempat kita berperang dulu kerana tempat itu telah ditinggalkan menjadi hutan dan belukar. Sepatutnya kita bergerak ke depan dan te­roka dimensi baharu yang akan memberi faedah kepada semua orang, sekali gus menzahirkan lebih banyak kebaikan daripada persengketaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN