PUTRAJAYA: Malaysia dijadual menerima bekalan vaksin Covid-19 pertama hari ini dengan kawalan keselamatan dan perjalanan yang paling ketat dalam sejarah pemvaksinan negara.
Vaksin Pfizer-BioNTech dijangka tiba di pusat kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pukul 10 pagi ini dari kemudahan pengeluaran vaksin di Belgium.
Selepas tiba di negara ini, vaksin itu akan dibawa ke gudang penyimpanan sejuk beku atau Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di beberapa lokasi yang dirahsiakan sebelum diagihkan ke 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengiringi sepanjang perjalanan bekalan vaksin berkenaan bermula dari KLIA sehinggalah ke stor simpanan yang turut menempatkan anggota dan balai polis bergerak selama 24 jam mengawal lokasi penyimpanan yang dirahsiakan daripada umum.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, lokasi tempat penyimpanan vaksin tersebut tidak boleh dimaklumkan kepada umum atas sebab keselamatan.
“Malah, ia juga tertakluk kepada syarat perjanjian dengan syarikat pengeluar bahawa perjalanan penghantaran dari tempat pengeluar di Belgium sehingga ke lokasi penyimpanan negara (end-to-end) tidak boleh didedahkan,’’ katanya di sini, semalam.
Adham berkata, antara 600 lokasi pusat vaksinasi yang dikenal pasti di sekitar Lembah Klang ialah di Selangor – Hospital Tanjung Karang, Klinik Kesihatan (KK) Bestari Jaya, KK Bukit Cerakah, KK Ijok, KK Jeram, KK Kuala Selangor, KK Tengi Kanan, KK Tanjung Karang, Klinik Komuniti Saujana Utama, KK Desa Puncak Alam, Hospital Sabak Bernam, KK Bagan Terap, KK Sabak Bernam, KK Sekinchan, KK Air Tawar dan KK Sungai Besar.
“Selain itu, Hospital Serdang, Hospital Kajang, Hospital Pengajar UPM, Kem Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Institut Kanser Negara (IKN),” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu Mingguan Malaysia, bekalan vaksin yang tiba di KLIA akan diasingkan sebelum dihantar ke pusat penyimpanan di sebuah lokasi di Subang Jaya, Selangor dan tiga lagi lokasi lain.
Katanya, lokasi penyimpanan lain termasuk di Bayan Lepas, Pulau Pinang bagi zon Utara; Senai, Johor, bagi zon Selatan; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
Kata beliau, kawalan ketat 24 jam turut dilakukan di semua stor penyimpanan vaksin termasuk menempatkan sebuah kenderaan balai polis bergerak di setiap lokasi terbabit.
“Unit Kereta Peronda dan motosikal pengiring Polis Diraja Malaysia mengiringi bekalan vaksin yang dijangka tiba di Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA kira-kira pukul 10 pagi menuju ke pusat penyimpanan Subang Jaya melalui 10 pintu.
“Terdapat enam laluan alternatif lain bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini. Kita mengambil kira semua perkara luar jangkaan. Kemungkinan ada orang sakit jiwa yang cuba nak melakukan rampasan semasa dalam perjalanan atau yang paling saya bimbangkan sekiranya berlaku kemalangan semasa proses membawa vaksin ini sekali gus menyebabkan ia rosak dan tidak dapat digunakan,’’ katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan melaksanakan aktiviti dry run atau sesi latihan awal penghantaran vaksin Covid-19 sebagai latihan bagi memastikan persiapan rapi dibuat sebelum bekalan sebenar vaksin dari syarikat Pfizer itu diterima di Malaysia.
Aktiviti dry run itu diadakan bagi menilai keupayaan pengekalan suhu -75°C (+/-15°C) vaksin Comirnaty sepanjang rantaian penghantaran, iaitu dari pihak pengilang sehingga ke fasiliti yang dipilih.
Selain itu, aktiviti berkenaan menilai kebolehlaksanaan proses-proses yang terlibat dalam pengendalian vaksin Covid-19 dan menguji pelaksanaan Garis Panduan Pengendalian Vaksin Covid-19 yang dibangunkan di lapangan agar pengedaran sebenar ke seluruh Malaysia kelak berjalan lancar.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima suntikan vaksin pada hari pertama pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara berfasa mulai 26 Februari ini bersama-sama dengan petugas barisan hadapan.
Pada 24 November tahun lalu, Menteri Kesihatan menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan bekalan vaksin sebanyak 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.
Melalui perjanjian ini juga, Pfizer menjanjikan penghantaran sebanyak satu juta dos bagi suku pertama tahun ini, disusuli dengan 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada ketersediaan bekalan oleh syarikat pengeluar vaksin tersebut.
Pada 22 November tahun lalu juga, kerajaan menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin itu bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus rakyat Malaysia.
Selain dua syarikat pengeluar itu, kerajaan turut mendapatkan bekalan daripada pengeluar lain sekali gus mencukupi keperluan vaksin secara percuma kepada semua rakyat untuk sasaran 80 peratus penduduk atau bersamaan 26 juta individu. – UTUSAN










