Industri perikanan laut dalam lumpuh, pengusaha rugi lebih RM100 juta - Utusan Malaysia

Industri perikanan laut dalam lumpuh, pengusaha rugi lebih RM100 juta

BOT laut dalam dijangka kembali beroperasi tidak lama lagi ekoran keputusan membenarkan kemasukan pekerja nelayan asing ke negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Industri perikanan laut dalam di Kelantan lumpuh apabila menanggung kerugian lebih RM100 juta sejak enam bulan lalu.

Ini ekoran kegagalan kira-kira 5,500 awak-awaknya yang terdiri daripada warga Thailand dan Vietnam kembali semula ke negara ini berikutan penutupan pintu sempadan disebabkan penularan Covid-19.

Selain itu, caj permit, ujian Covid-19 dan buku pelaut yang tamat tempoh dan perlu diperbaharui dianggap membebankan dalam kalangan majikan.

Pekerja asing ini mewakili hampir 90 peratus daripada tenaga kerja yang menunjangi industri perikanan laut dalam di Kelantan yang diusahakan kira-kira 400 pengusaha bot.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Kelab Pengusaha Bot Laut Dalam Kelantan, Hazim Ramli berkata, sehingga sekarang bot-bot tidak dapat turun ke laut biarpun dibenarkan beroperasi kerana pengusaha tidak mempunyai pekerja, yang sebelum ini bergantung hampir sepenuhnya kepada ‘kudrat’ warga asing.

Menurutnya, pengurangan pendaratan ikan di jeti Tok Bali itu turut meninggalkan impak negatif kepada industri hiliran seperti kilang keropok dan ikan kering menyebabkan ratusan pekerjanya dibimbangi hilang sumber pendapatan.

Katanya, kira-kira 400 peng­usaha bot laut dalam di Kelantan dalam tempoh enam bulan lalu menanggung kerugian mence­cah lebih RM100 juta.

“Bayangkan, sekarang hanya 20 bot laut dalam beroperasi di seluruh Kelantan. Di Tok Bali, kita ada kira-kira 100 bot, namun tinggal 10 bot sahaja yang keluar menangkap ikan.

“Masalah ketandusan pekerja ini benar-benar serius dan jika dibiarkan berpanjangan, kesemua 400 pengusaha bot laut dalam di negeri ini bakal gulung tikar,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati deretan bot kategori C dan C2 tersadai berbulan-bulan lamanya di jeti Tok Bali, di sini.

Difahamkan, di bawah prosedur baharu, nelayan dan awak-awak asing jika mahu memperbaharui buku pelaut serta permit bekerja masing-masing perlu memiliki pasport dan menjalani ujian saringan Covid-19 diikuti proses kuarantin selama 14 hari.

Sementara itu, seorang pengusaha bot, Nazari Yusof pula berkata, dua bot pukat tunda miliknya tersadai sejak empat bulan lalu kerana dia tidak mampu menanggung kos tinggi jika mahu memperbaharui permit nelayan asing.

“Mengikut prosedur baharu ketika musim Covid-19 ini, kos ujian saringan dan kuarantin serta lain-lain caj berkaitan terpaksa ditanggung pengusaha bot sekiranya kami mahu menggunakan tenaga pekerja asing.

“Kos kuarantin 14 hari dan permit Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dianggarkan RM8,000 bagi setiap pekerja.

“Saya memerlukan sekurang-kurangnya 40 tenaga kerja untuk mengoperasikan sebuah bot pukat jerut laut dalam. Dengan kata lain, saya terpaksa membelanjakan RM340,000 untuk proses ini sahaja,” katanya.

Keluh Nazari, sehingga kini dia terpaksa membelanjakan lebih RM15,000 dalam tempoh empat bulan tidak beroperasi untuk menampung kos penyelenggaraan bot, makan minum dan wang saku kepada pekerja kerana direhatkan sementara waktu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN