Gengster: Malaysia bakal jadi ‘Chicago’ - Utusan Malaysia

Gengster: Malaysia bakal jadi ‘Chicago’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesan 72 geng samseng aktif di negara ini, malah ancaman gengsterisme jika dibiarkan tidak mustahil mengundang Malaysia menjadi seperti ‘Chicago 1930-an’.

Aktiviti gengsterisme ketika itu hampir melumpuhkan kedaulatan undang-undang Ame­rika Syarikat (AS) menyebabkan kegiatan mafia bermaharajalela.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Je­nayah Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, sejak 2013 Kemen­terian Dalam Negeri (KDN) melalui risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewartakan 72 kumpulan kongsi gelap dan gengster.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 49 kumpulan gengster dikenal pasti bertapak di negara ini pada 2013 manakala 23 lagi ditubuhkan pada 2015 dengan jumlah ahli semuanya 9,042 orang.

Jelasnya, kegiatan itu dikhuatiri meningkat kerana kebelakangan ini aktiviti gengsterisme terus agresif apabila ahli kongsi gelap berkenaan secara terang-terangan mula bergaduh bagi merebut kawasan jajahan untuk melakukan jenayah khususnya menjalankan aktiviti pengedaran dadah dan perjudian.

Kata beliau, gengsterisme boleh dirujuk sebagai aktiviti jenayah atau sosial yang dijalankan oleh seorang atau sekumpulan individu.

“Mereka ini sanggup mela­kukan tindakan yang salah demi mencapai kepuasan dan matlamat bagi kumpulan dan diri sendiri.

“Meskipun sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti ini tidak begitu aktif namun kita percaya masih ada kumpulan-kumpulan yang menyasarkan satu-satu kawasan untuk menjalankan aktiviti jenayah mereka.

“Justeru, PDRM meneruskan Op Cantas bagi mengesan dan menangkap ahli kumpulan yang menyertai mana-mana pertubuhan yang diwartakan sebagai pertubuhan haram dan menyalahi undang-undang,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Dev berkata, individu yang menyertai pertubuhan haram atau geng samseng adalah kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Selain itu, kata beliau, mana-mana individu yang mempu­nyai tatu atau lambang kongsi gelap juga boleh diambil tindakan mengikut kesalahan di bawah Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966.

“Bukan itu sahaja, kita amat komited mengambil tindakan tegas terhadap pemilik-pemilik premis atau tempat yang mempamerkan papan tanda yang mempunyai simbol kumpulan kongsi gelap di bawah ke­salahan Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966.

“Buktinya, sepanjang tempoh 2016 hingga tahun lalu, sebanyak 2,961 individu ditangkap di bawah kesalahan Akta Pertubuhan 1966 kerana menjadi ahli atau menganggotai kumpulan kongsi gelap, selain memiliki tatu serta lambang kongsi gelap dan mempamerkan papan tanda mempunyai simbol kumpulan kongsi gelap.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 469 ahli kongsi gelap diambil tindakan bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) kerana melakukan pelbagai kesalahan jenayah kekerasan seperti pemerasan, ugutan, pergaduhan dan lain-lain,” jelasnya.

Beliau berkata, PDRM juga menahan 1,868 ahli kongsi kerana melakukan kesalahan jenayah kekerasan seperti merusuh, bunuh, mencederakan individu lain, pemerasan manakala bakinya diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam tempoh tersebut.

“Kita tidak pernah berdiam diri, malah polis terus mengambil tindakan terhadap semua kumpulan kongsi gelap. Polis sentiasa mengisytiharkan (perang terhadap kongsi gelap).

“Akibat dari tekanan berterusan oleh PDRM, kumpulan gengster kini semakin terdesak untuk survival mereka,” tegas­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN