KUANTAN: Dianggarkan kira-kira 400,000 pelajar tingkatan empat di seluruh negara akan menggunakan buku teks Sejarah yang didakwa wujud penyelewengan fakta menerusi cubaan menjulang pengganas komunis sebagai pejuang kemerdekaan.
Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, jika dibiarkan begitu sahaja, ia dibimbangi akan meresapi dalam pemikiran setiap pelajar berkenaan fakta diseleweng itu.
Apabila keadaan itu berlaku katanya, ia akan menghasilkan pemikiran pelajar yang boleh menerima ideologi komunis yang bertentangan dengan Perlembagaan dan Rukun Negara.
“Perkara ini perlu dipandang serius, penerapan ideologi komunis dalam minda rakyat terutama pelajar secara terang-terangan akan mendatangkan ancaman kepada perpaduan nasional. Isu ini bukan baharu.
“Selepas ini, untuk menepisnya atau memulihkannya kembali, ia pasti bukan mudah dan tentunya memerlukan masa juga melibatkan kos,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Isu fakta dalam Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 yang didakwa diselewengkan berlarutan apabila wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu membuat laporan polis di Shah Alam, kelmarin.
Dakwa mereka, buku teks berkenaan mengandungi unsur fakta yang dimanipulasi dengan elemen Malaysian Malaysia, selain usaha mengagungkan komunis yang perlu dihalang daripada digunakan sebagai bahan pembelajaran.
Aripin berkata, pendedahan tentang usaha mengangkat fahaman komunisme sebagai hero dalam sejarah negara menerusi buku Sejarah Tingkatan Empat telah didedahkan menerusi banyak medium.
“Faktanya sekarang adalah komunis, apa yang dinyatakan dalam buku teks berkenaan adalah cubaan bagi mengangkat komunis sebagai antara pejuang kemerdekaan negara. Ini tidak betul.
“Dahulu, apa yang kita belajar sudah tepat dinyatakan tentang siapa itu komunis, kenapa perlu diubah faktanya sedemikian rupa,” tegasnya.
Beliau sehubungan itu meminta pihak kerajaan supaya segera menolak buku teks Sejarah Tingkatan Empat berkenaan daripada dipelajari di sekolah.
“Faktanya tidak boleh diterima, jadi tolak segera buku itu dan selepas itu, ia perlu dibakar,” tegasnya.
Jelasnya, beliau berang kerana fakta sejarah negara sengaja diseleweng dan dimanipulasi pihak tertentu demi kepentingan dan agenda peribadi mereka. – UTUSAN










