BALING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah menyatakan hasrat bertanding di kerusi Parlimen Baling pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Bersatu Bahagian Baling, Mohd. Taufik Yaacob berkata, hasrat parti itu telah dibentangkan kepada Pas pada perbincangan awal Perikatan Nasional (PN) negeri dalam menentukan parti yang akan bertanding di Parlimen tersebut.
Menurutnya, Pas pula didapati tidak membantah hasrat Bersatu untuk mengambil alih kerusi Parlimen itu daripada UMNO yang dimenangi pada PRU-14.
Bagaimanapun katanya, Bersatu juga menyerah keputusan pucuk pimpinan peringkat PN kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan parti dan calon yang akan bertanding di Parlimen Baling.
“Pas tiada halangan Bersatu bertanding di Baling pada PRU-15.
“Malah dalam perbincangan awal itu, Bersatu juga tiada halangan sekiranya Pas mahu bertanding mempertahankan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Baling yang dimenangi sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada PRU-14, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Baling menewaskan calon Pas, Hassan Saad dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Taufik dengan majoriti 1,074 undi selepas memperoleh 38,557 undi.
BN turut tewas di tiga kawasan DUN yang dimenangi Pas iaitu DUN Kupang, DUN Bayu dan DUN Kuala Ketil di bawah Parlimen Baling. – UTUSAN









