PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau sebarang aktiviti daripada mana-mana individu tidak bertanggungjawab yang cuba menggodam laman web kerajaan.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) , Datuk Zainuddin Yaacob mengesahkan pihaknya mengetahui perkara itu, namun tiada sebarang laporan polis diterima setakat ini.
Jelas beliau, JSJK melalui Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia bersedia menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 atau Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 sekiranya mendapati perkara itu berlaku.
“Sekiranya tindakan penggodaman tersebut dilakukan dengan niat untuk mensabotaj sistem keselamatan negara, siasatan juga boleh dilaksanakan di bawah Seksyen 124 dan Seksyen 124L Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan penjara sehingga 15 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Zainuddin menasihatkan orang ramai untuk sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama dalam menyalurkan maklumat-maklumat berkaitan aktiviti sebegini.
“Masalah kebocoran maklumat serta penggodaman sistem kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan ketawa kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap negara ini dan kepada seluruh masyarakat di Malaysia,” jelasnya.
Terdahulu, satu notis amaran dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada semua agensi kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.
Amaran menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) itu dilakukan selepas penularan satu video di media sosial dikeluarkan Anonymous Malaysia baru-baru ini yang menyentuh beberapa isu serangan siber terhadap laman web kerajaan.
Kelmarin, pengguna Facebook itu menerusi video dimuat naik berdurasi dua minit 29 saat antara lain mendakwa, serangan siber terhadap rangkaian data milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini berpunca kerana kerajaan tidak menyokong usaha membangunkan sektor teknologi maklumat. – UTUSAN










