GEORGETOWN: Kementerian Pendidikan perlu segera melaksanakan pembelajaran melalui saluran televisyen (TV) secara komprehensif dan bersepadu sebagai alternatif kepada pembelajaran dalam talian sewaktu tempoh darurat ketika ini.
Pakar pendidikan dan sosiologi, Anuar Ahmad berkata, kaedah itu dilihat lebih sesuai memandangkan capaian kepada saluran televisyen seperti RTM terdapat di seluruh negara.
Ujar pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, Kementerian Pendidikan boleh menyediakan jadual waktu kelas dari darjah satu hingga tingkatan enam dan menyediakan video pengajaran oleh guru pakar bagi setiap mata pelajaran.
“Seberapa ramai guru boleh dilantik untuk membuat video pengajaran bagi setiap topik pembelajaran.
“Seawal 1 Mac ini misalnya, boleh dimulakan untuk pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam dahulu sebelum diikuti video pengajaran untuk pelajar yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Anuar, guru-guru di sekolah boleh bertindak sebagai fasilitator membantu pelajar yang kurang faham selepas menonton di TV.
Menerusi kaedah itu juga, jelas beliau, guru-guru boleh memberikan latihan berdasarkan video di televisyen dan menyemak latihan pelajar mereka.
“Malah guru juga secara tidak langsung akan mendapat ilmu baharu apabila menonton teknik pengajaran oleh guru pakar di televisyen,” katanya.
Tambah Anuar, dalam amalan pengajaran di negara ini, pengajaran melalui TV pendidikan dilihat jauh lebih berkesan berbanding kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian.
Ujarnya, kaedah itu juga melibatkan kos yang jauh lebih murah yang mana setiap keluarga tidak perlu membeli gajet atau melanggan internet. – UTUSAN








