PUTRAJAYA: Selangor terus merekodkan kes harian baharu tertinggi Covid-19 iaitu 673 kes manakala 11 kematian dicatat dan sembilan kluster baharu dikesan, semalam.
Sabah pula mencatat sebanyak 316 kes dan Johor 179 kes.
Terdapat 124 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), melibatkan 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 1,704 kes positif baharu bagi seluruh negara yang menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 119,077 kes.
Katanya, bagi kes sembuh, Malaysia merekodkan sebanyak 2,726 kes dan ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 97,218 kes.
“Sebanyak 232 kluster aktif masih dipantau dan daripada jumlah itu, sebanyak 59 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini. Selangor terus merekodkan kes harian baharu tertinggi Covid-19 iaitu 673 kes manakala 11 kematian dicatat dan sembilan kluster baharu dikesan, semalam.“ Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Kebun Baru (89 kes), Kluster Beringin (82 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (56 kes), dan Kluster Sungai Putus (56 kes),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Noor Hisham berkata, terdapat lima kluster tempat kerja iaitu Kluster Tapak Bina Perdana Avenue membabitkan Petaling, Selangor, seramai 783 individu disaring, di mana 202 kes positif dan Kluster Osmo Jaya membabitkan Hulu Langat, Selangor, seramai 188 individu disaring, di mana 46 kes positif.
Katanya, Kluster Belati membabitkan Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, dan Pontian, Johor, seramai 277 individu disaring, di mana 44 kes positif.
“Bagi dua lagi, Kluster Wawasan Gading membabitkan Batu Pahat, Johor, seramai 175 individu disaring, dan 13 kes positif dikesan manakala Kluster Rengit Sentral membabitkan Kota Tinggi, Kluang, dan Johor Bahru, Johor, seramai 141 individu disaring, dengan 10 kes positif.
“Selain itu, Kluster Lintas Seraya membabitkan Kota Kinabalu dan Penampang, Sabah, seramai 42 individu disaring, di mana 16 kes positif dan Kluster Manik membabitkan Kuala Krai, Kelantan dan Dungun, Terengganu, seramai 168 individu disaring di mana 22 kes positif,” katanya.
Beliau berkata, Kluster Paloh Tumpat membabitkan Tumpat, Kelantan, seramai 39 individu disaring, di mana 15 kes positif.
“Kluster Stutong membabitkan Kuching, Sarawak, seramai51 individu disaring, di mana lima kes positif,” katanya.
Mengulas mengenai 11 kematian, beliau berkata, semua pesakit adalah tujuh lelaki termasuk seorang bukan warga negara dan empat wanita yang berusia antara 51 hingga 77 tahun
“Kesemua pesakit mempunyai pelbagai latar belakang penyakit seperti asma, kencing manis, buah pinggang, jantung, darah tinggi, dislipidemia dan lumpuh,” katanya. – UTUSAN










