Polis, penjawat awam ramai terlibat dadah - Utusan Malaysia

Polis, penjawat awam ramai terlibat dadah

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bimbang masalah dadah khususnya pengedaran syabu di negara ini akan meningkat secara mendadak sekiranya tiada tindakan berterusan dilakukan.

Abdul Hamid memberitahu Utusan Malaysia, peningkatan jumlah makmal memproses dadah di dalam negara ini menjadi punca penyalagunaan bahan terlarang itu sukar dibendung.

Malah, kata Abdul Hamid, lebih membimbangkan aktiviti berkaitan dadah bukan hanya membabitkan orang awam tetapi turut melibatkan penjawat awam serta pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipertanggungjawabkan untuk membanteras kegiatan itu.

Perkara itu dikuatkan lagi statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pada Januari sehingga 27 Disember tahun lalu, apabila sebanyak 146,056 individu diberkas yang mana 405 daripada mereka merupakan warga polis selain 599 lagi penjawat awam.

Kesemua mereka yang ditahan kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan seperti membekal, memiliki dan positif bahan terlarang tersebut.

Selain, sebanyak 120,977 kes dadah disiasat termasuk 20 makmal dadah berjaya dibongkar dengan rampasan pelbagai dadah bernilai RM 447.64 juta dalam tempoh sama.

“Melihat pada kadar jenayah tahun lalu, ada penurunan dan ia dijangka terus menurun tahun ini tetapi berbeza dengan dadah saya jangka ia akan terus meningkat dan perkara ini begitu membimbangkan.

“Ditambah pula, kebanyakan dadah jenis syabu akan di proses di dalam negara ini. Perkara itu disedari PDRM apabila semakin kerap tindakan diambil, semakin banyak lagi sindiket beroperasi di negara ini.

“Ini jelas menunjukkan Malaysia menjadi transit dadah dan juga untuk kegunaan di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Mengulas lebih lanjut, Abdul Hamid berkata, pihaknya juga akan melancarkan operasi membersihkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) daripada pegawai dan anggota yang terlibat dalam masalah integriti termasuk rasuah dan penyalahgunaan dadah itu sendiri.

Kata beliau, selain pemeriksaan secara mengejut akan dilakukan di semua Jabatan di PDRM tanpa dimaklumkan bagi mengesan warga polis yang positif najis dadah ini.

“Tangkapan yang dilakukan sebelum ini tidak sampai separuh, tapi saya yakin lebih ramai lagi terlibat, jadi operasi mengesan lebih ramai lagi akan digandakan kerana saya juga bimbang kegiatan penagihan dadah kian menular dalam jabatan kerajaan yang lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, satu pertemuan akan diadakan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia bagi merayu supaya PDRM diberi kelonggaran dalam penambahan keanggotaan dan jawatan khususnya melibatkan Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Ini kerana, kata beliau, kekangan kekurangan kakitangan di JSJN disifatkan satu tanggungjawab dan bebanan tugas yang berat memandangkan masalah dadah di negara ini ditahap kritikal.

“Masalah penyalahgunaan dadah perlu menjadi agenda utama untuk PDRM kerana ia boleh memberi kesan kepada keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan negara.

“Sekiranya isu ini tidak diuruskan dengan baik, masalah ini akan menjadi semakin serius dalam masyarakat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN