Murid baharu teruja dikunjungi guru - Utusan Malaysia

Murid baharu teruja dikunjungi guru

SALMIAH Abdul Manan berserta beberapa guru SK Kampung Acheh di Pekan turun padang bertemu murid-murid baharu untuk memberi tunjuk ajar modul PdPR di kampung berkenaan, kelmarin. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Hari pertama sesi persekolahan 2021 bagi murid Tahun 1 Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Acheh di sini, Nur’ainul Solehah Muhammad Rahi cukup bermakna apabila dikunjungi pentadbir dan tenaga pengajar dari sekolah berkenaan.

Selain bertanya khabar selepas kampung itu dilanda musibah banjir, kunjungan yang turut dihadiri Guru Besar SK Kampung Acheh, Salmiah Abdul Manan turut menerangkan tentang modul pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) oleh Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Mazni Mohamed@Ibrahim.

Yang hadir sama Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Azizah Abd. Aziz dan guru kelas Tahun 1, Norhapesah Ismail.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Nur’ainul Solehah yang kelihatan malu-malu tidak kekok apabila dia dipanggil untuk ditemu bual.

Biarpun hanya menunduk apabila ditanya, namun kanak-kanak itu dilihat cukup teruja untuk memulakan sesi persekolahan biarpun perlu belajar di rumah.

Ibu Nur’ainul Solehah, Nor’aini Mat berkata, mereka tidak menyangka dikunjungi guru SK Kampung Acheh pada hari pertama persekolahan anak bongsunya daripada lapan adik-beradik itu.

“Nur’ainul Solehah satu-satunya anak kami yang masih bersekolah dan dia juga satu-satunya yang belajar menerusi kaedah PdPR ekoran Covid-19.

“Biarpun apa pun kaedahnya (pembelajaran), sebagai ibu bapa kami kena ikut dan patuh. Cuma perhatian lebih perlu diberikan terhadapnya ketika kelas secara dalam talian diadakan,” katanya.

Jelasnya, dia cuma bimbang tidak dapat memberikan sepenuh masa untuk memantau PdPR anaknya kerana suaminya, Muhammad Rahi Mat Yunus, 55, tidak sihat kerana mengalami masalah pada saluran urinari.

Sementara itu Salmiah berkata, untuk PdPR, bagi murid yang tidak mempunyai internet, mereka dibekalkan dengan modul bagi mengelakkan keciciran.

“Modul ini boleh diambil oleh ibu bapa murid terlibat di pondok jaga sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN