PASIR PUTEH: Masjid Mukim Permatang Sungkai, di sini menjadi tumpuan pelajar dari Kampung Permatang Sungkai dan Permatang Rambai mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini kerana hanya persekitaran masjid itu sahaja mereka dapat mengakses capaian internet bagi mengikuti kelas dalam talian setiap hari.
Pelajar tahun dua Universiti Sultan Sharif Kassim, Riau, Mohamad Syahmi Izzat Che Md. Kari, 22, berkata, ketiadaan capaian internet di rumahnya sering menggagalkan hasratnya menggunakan PdPR.
Pelajar pengajian syariah itu berkata, kegagalan mengikuti pembelajaran secara maya menyebabkan mata kredit bagi kehadiran kuliah akan turut dipotong oleh pihak universiti sedangkan kekangan liputan jalur lebar menjadi penyebab utama.
“Saya kembali ke tanah air pada April tahun lepas dan menghadapi kesukaran menggunakan aplikasi Google Meet hanya kerana di persekitaran kampung tiada liputan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Pelajar kejuruteraan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Wan Jaizah Adirah Che Noh, 20, berkata, belajar di beranda masjid lebih selesa berbanding di rumah.
“Sebelum ini saya membeli pelbagai rangkaian telefon, namun kesemuanya gagal diakses di rumah. Adakalanya saya terpaksa menghantar kerja kursus selepas keluar sejauh lima kilometer dari kampung,” ujarnya.
Pelajar Pengajian Diploma Pemasaran Politeknik Kota Bharu, Nik Fatini Nik Azlan, 21, berkata, dia terpaksa menghabiskan masa sehingga tiga jam hanya untuk menghantar emel tugasan kepada pensyarah dengan mengakses internet di masjid berkenaan.
“Sebagai pelajar banyak kerja perlu dibereskan,” tambahnya.
Imam masjid mukim berkenaan, Azmi Hussin berkata, pihaknya memberi kebenaran kepada pelajar berada di beranda masjid bagi membolehkan mereka belajar dengan selesa.
Katanya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipantau dan mereka diwajibkan mendaftar kehadiran, memakai pelitup muka serta mematuhi penjarakan fizikal selain meninggalkan lokasi itu sebaik sahaja menyiapkan tugasan masing-masing.
Azmi berkata, dua menara komunikasi syarikat penyediak perkhidmatan telekmomunuikasi (telco) telah siap dibina di dua kampung berkenaan sejak bulan Oktober tahun lepas namun gagal berfungsi sehingga kini. – UTUSAN










