KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang merebak ke enam negeri meningkat kepada lebih 23,000 orang dengan Kelantan dan Perak menjadi negeri terbaharu dilanda musibah berkenaan.
Jumlah tersebut dijangka bertambah berikutan amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan diramalkan berlaku di Terengganu, Pahang dan Johor sehingga hari ini.
Sehingga kini, banjir yang melanda sejak 2 Januari lalu turut meragut empat nyawa manakala tiga lagi mangsa dilaporkan masih hilang dihanyutkan air.
Setakat petang semalam, jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) adalah seramai 23,049 mangsa.
DI PAHANG, jumlah mangsa banjir mencecah 14,390 orang setakat pukul 6 petang semalam berbanding 9,000 orang sebelah paginya.
Peningkatan itu menyaksikan pertambahan daripada 2,900 kepada lebih 3,683 keluarga yang ditempatkan di 200 PPS.
Di TERENGGANU, banjir fasa kelima terus mencatatkan peningkatan dengan seramai 1,077 penduduk dipindahkan ke 10 PPS di dua daerah di negeri ini.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 6 petang semalam, kesemua mangsa membabitkan 335 keluarga yang terjejas itu masing-masing dari daerah Kemaman dan Dungun.
DI PERAK, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS meningkat daripada 615 kepada 1,101 orang sehingga pukul 4 petang semalam.
Menurut Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, banjir yang melanda empat daerah itu mengakibatkan lebih 1,000 penduduk terjejas dengan Slim River merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi.
Di JOHOR, bilangan mangsa adalah seramai 6,244 orang daripada 1,363 keluarga setakat pukul 4 petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, setakat ini, sebanyak 58 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi di lapan daerah terlibat banjir iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Kulai, Batu Pahat, Mersing, Pontian dan Segamat.
“Sebanyak 15 PPS sudah ditutup berikutan banjir di beberapa kawasan sudah surut dan mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
DI KELANTAN, tiga PPS dibuka di daerah ini sejak awal pagi dan menjelang petang semalam dan jumlah keseluruhan mangsa direkodkan berkurangan kepada 78 orang daripada 43 keluarga.
Dalam pada itu kenderaan dari Gua Musang menghala ke Cameron Highlands, Pahang atau Ipoh, Perak terkandas kerana timbunan tanah, bongkah batu dan sisa kayu menutup laluan kedua-dua arah di Lojing.
DI SELANGOR, seramai 159 mangsa banjir di Hulu Bernam, Hulu Selangor dan Bestari Jaya, Kuala Selangor dipindahkan ke dua PPS semalam.
Semua mangsa melibatkan 51 keluarga itu ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Selisek, Hulu Bernam dan Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Bestari Jaya. – UTUSAN









