Kuasa mutlak pada Agong - Utusan Malaysia

Kuasa mutlak pada Agong

PENGUSAHA tanaman hiasan, Mohd. Riban Zainon, 48, (tengah) dan pekerja-pekerjanya menonton Perutusan Khas Darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Nerang, Kedah, semalam. Perintah darurat dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos berikutan penularan pandemik Covid-19 yang semakin mengancam nyawa rakyat negara ini. – UTUSAN/SHAHIR NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai kuasa mutlak di bawah perintah darurat yang membolehkan baginda memutuskan keputusan penting termasuk memasyhurkan ordinan jika Parlimen tidak boleh bersidang serta wujud keadaan yang memerlukan tindakan se­gera.

Pakar Perlembagaan Univer­siti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, undang-undang juga boleh digubal tan­pa mematuhi peruntukan se­dia ada dalam Perlembagaan Per­sekutuan yang dinamakan Ordinan menerusi Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu katanya, Seri Paduka mempunyai kuasa untuk me­lantik Perdana Menteri interim sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yas­sin meletak jawatan dalam tempoh darurat ini.

“Apa yang penting Ordinan itu tidak bercanggah dengan per­un­tukan yang menyentuh agama, warganegara dan bahasa serta tidak memperluaskan kuasa Parlimen dalam perkara hukum syarak, adat Melayu dan adat anak-anak negeri di Sabah serta Sarawak.

“Prerogatif kuasa Agong un­tuk membuat Ordinan yang ti­dak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan seperti di atas dan perisytiharan darurat itu sendiri adalah kuasa Agong di bawah Perlembagaan,” kata­nya kepada Utusan Malaysia semalam.

Yang di-Pertuan Agong di ba­wah Perkara 150 berkuasa mengisytiharkan darurat termasuk kuasa untuk membuat proklamasi yang berlainan atas alasan berlainan atau keadaan berlainan.

Ini bermaksud Yang di-Pertuan Agong boleh membuat beberapa Proklamasi Darurat pada masa sama atau pada ma­sa berlainan. Hal ini terdapat dalam Perkara 150(2A).

Sebelum ini Negara pernah beberapa kali melalui keadaan darurat antaranya Darurat Ta­nah Melayu (1948-1960); Darurat Konfrontasi (1964); Darurat Sarawak (1966); Darurat Rusuhan Kaum (1969);  Darurat Kelantan (1977); Darurat Jere­bu (1997, 2005 dan 2013).

Tambah Wan Ahmad Fauzi, ke­putusan Al-Sultan Abdullah tidak boleh dicabar oleh mah­kamah disebabkan apa jua alasan berdasarkan Perkara 150 (8).

“Tiada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau pro­siding berhubung keputusan itu.

“Selain itu, proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu per­isytiharan yang dibuat da­lam Proklamasi tidak boleh dicabar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan, Prof. Datuk Salleh Buang berkata, walaupun da­ru­rat, kehidupan rakyat seper­ti biasa dan tertakluk kepada ara­han serta undang-undang ter­masuk Perintah

Kawalan Per­gerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Ini tempoh negara untuk ‘ber­tenang’ semasa darurat. Tia­da keras kepala gila kua­sa mahukan PRU-15 yang se­me­mang­nya kerja gila serta tidak bertanggungjawab,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN