PETALING JAYA: Seramai 3,145 mangsa kembali berpindah ke 38 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Johor semalam.
Banjir di Kelantan dan Pahang kembali terkawal manakala Terengganu dilaporkan pulih.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, setakat pukul 8 pagi menyaksikan sebanyak lima daerah, Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing, Segamat dan Kulai terjejas.
“Ekoran hujan lebat sepanjang hari, jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat menyaksikan seramai 3,145 orang daripada 904 keluarga ditempatkan di PPS seluruh Johor.
“Daerah paling teruk terjejas adalah Kota Tinggi dengan 1,848 mangsa, diikuti Johor Bahru (1,056), Segamat (94) dan Kulai (94) dan Mersing (52),” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Jabatan Meterologi Malaysia turut meramalkan hujan akan berterusan di Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulai, Pontian, Batu Pahat, Segamat dan Mersing.
Di Kelantan, tujuh PPS masih beroperasi di Pasir Mas dan Kuala Krai.
Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS terbabit menempatkan 438 mangsa daripada 145 keluarga.
Di Pasir Mas, 368 mangsa daripada 125 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong, PPS SK Kedai Tanjong, PPS SK Tok Deh dan PPS Putat 7.
Di Kuala Krai, 70 mangsa daripada 20 keluarga kini berlindung di PPS SK Banggol Guchil, PPS Kolej Vokasional Kuala Krai dan PPS SK Manek Urai.
Laman sesawang infobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Golok masih melepasi paras bahaya manakala Sungai Kelantan dan Sungai Lebir menurun kepada berjaga-jaga dan Sungai Galas kembali ke paras normal.
Di Terengganu, banjir yang melanda sejak sembilan hari lalu berakhir sepenuhnya semalam dengan penutupan lapan PPS.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, kesemua 517 mangsa pulang ke rumah masing-masing bermula tengah hari semalam.
“Bagaimanapun, amaran angin kencang dan laut bergelora masih berkuat kuasa di samping fenomena air pasang besar, jadi kita minta penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada,” katanya di sini semalam.
Di Pahang, bilangan mangsa banjir di lapan daerah di Pahang mencatat penurunan mendadak sehingga pukul 6 petang semalam.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga kini terdapat 21,270 mangsa melibatkan 5,830 keluarga masih ditempatkan di 211 PPS.
Temerloh masih mencatat bilangan terbanyak iaitu 11,040 orang atau hampir 50 peratus daripada keseluruhan jumlah baki mangsa.
Daerah lain seperti Maran serta Pekan masing-masing mencatat sedikit penurunan kepada 2,738 dan 2,672 orang.
Sementara itu, Bera turut mencatat penurunan kecil kepada 1,589 mangsa, diikuti Lipis 1,149 mangsa. – UTUSAN









