Kes Covid-19 pertama kali lebih 3,000 - Utusan Malaysia

Kes Covid-19 pertama kali lebih 3,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Buat pertama kalinya Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi mencecah angka 3,000 iaitu sebanyak 3,027 kes, sekali gus menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 128,465 kes.

Sebanyak lapan kes kematian direkodkan dengan tambahan sembilan lagi kluster baharu dengan Johor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,103 kes, diikuti Selangor sebanyak 706 kes dan Sabah 493 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 25,221 kes.

Menurut beliau, daripada jumlah ini, sebanyak 1,043 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Sebanyak 63 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara.

“Ia membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (35 kes), Kluster Damai Pelangi (16 kes), Kluster Tembok Gajah dan Kluster Tembok Choh masing-masing empat kes, Kluster Tembok Mempaga (tiga kes), dan Kluster Pagar Siput (satu kes),” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr. Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 142 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 63 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, sebanyak 570 kluster dilaporkan dengan jumlah kluster yang tamat pula adalah sebanyak 316 kluster, termasuk tujuh kluster tamat semalam, sekali gus menjadikan jumlah kluster yang masih aktif seba­nyak 254 kluster dengan 52 kluster daripadanya melaporkan pertambahan kes.

Jelas beliau, kluster-kluster yang mencatatkan peningkatan kes ialah Kluster Bukit Pasir (779 kes), Kluster Dataran Utas (156 kes), dan Kluster Beringin (101 kes).

Mengenai sembilan kluster baharu, kata Dr. Noor Hisham, ialah melibatkan tiga kluster tempat kerja iaitu Kluster Senai Murni di Kulai di Johor (66 kes), Kluster Tapak Bina Hartamas di Hulu Langat, Selangor (48 kes) dan Kluster Tapak Bina Jalan Ipoh di Kepong, Kuala Lumpur (98 kes).

Selain itu, katanya, Kluster Damai Pelangi melibatkan sebuah pusat tahanan di daerah Hulu Selangor (21 kes), Kluster Rungkup di Kepong, Kuala Lumpur (20 kes) dan Kluster Desa Setapak di Titiwangsa, Kuala Lumpur (15 kes).

“Kluster Jalan Jaya pula me­libatkan di Cheras, Kuala Lumpur (tujuh kes), Kluster Ziarah Putra di Putrajaya (tujuh kes) dan Kluster Keranji Tabuan di Kuching, Sarawak (enam kes),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN