Hotel sanggup jadi pusat rawatan pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

Hotel sanggup jadi pusat rawatan pesakit Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Demi memastikan kelangsungan hidup, pengusaha hotel di negara ini sanggup menjadikan premis masing-masing sebagai pusat rawatan bagi pesakit Covid-19 tidak bergejala atau bergejala ringan.

Kesanggupan untuk me­nerima pesakit Covid-19 sebagai ‘tetamu’ hotel merupakan inisia­tif mereka untuk menampung kos operasi yang tinggi selain mengelak perniagaan daripada gulung tikar.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, daripada 5,000 hotel di seluruh negara yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, sebanyak 50 buah termasuk bertaraf lima bintang telah diwartakan sebagai pusat kuarantin sejak kes penularan Covid-19, tahun lalu.

Menurutnya, kesediaan hotel terbabit menjadi petanda aras bahawa pengusaha bersedia menerima pesakit Covid-19 ka­tegori satu dan dua untuk menginap di premis masing-masing.

“Pun begitu, ia masih dalam perbincangan dengan kerajaan dan hospital swasta.

“Kelulusan ini juga tertakluk kepada syarat-syarat dan ke­perluan Kementerian Kesihatan selain bergantung kepada permintaan semasa daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, fasiliti Kementerian Kesihatan sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan kes Covid-19 yang banyak setiap hari sehingga menyebabkan sistem kesihatan negara hampir lumpuh.

Justeru, Lip Seng melihat usaha yang dicadangkan oleh pihaknya sebagai langkah terbaik dalam membantu kerajaan untuk meringankan bebanan hospital kerajaan dan swasta.

Menurutnya, jika dipersetujui kerajaan, langkah tersebut juga mampu menampung kerugian pengusaha hotel sebanyak RM21.4 juta sehari berdasarkan anggaran hilang pendapatan RM300 juta setiap dua minggu selama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Beliau berkata, industri perhotelan mengalami kerugian pendapatan sekurang-kurang­nya RM6.5 bilion tahun lalu sementara hanya menerima lebih kurang 31 peratus kadar penginapan secara purata termasuk sebagai pusat kuarantin berbanding 61 peratus pada 2019.

“Ini menyebabkan lebih 90 hotel terpaksa ditutup sejak penularan pandemik ekoran tidak mampu menanggung kos operasi. Harga bilik penginapan secara purata jatuh antara 30 hingga lebih 70 peratus bergantung kepada lokasi,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya cadangan tersebut diterima, maka beberapa syarat perlu dipenuhi oleh pihak industri termasuk menutup tempahan daripada pelanggan biasa, menawarkan bilik penginapan dengan kemudahan asas.

“Selain itu, pesakit perlu menikmati makanan tiga kali sehari, memastikan pintu masuk dan keluar diasingkan daripada orang awam dan pekerja hotel tidak dibenarkan berinteraksi dengan penginap kuarantin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN