Gigih belajar walau derita kanser - Utusan Malaysia

Gigih belajar walau derita kanser

PUTRA Airil Asraq Mohd. Aqimie mengikuti sesi PdPR sambil dipantau ibunya di rumah mereka di Kedai Mulong, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Menghidap kan­ser tahap tiga tidak mematahkan semangat murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong di sini, Putra Airil Asraq Mohd. Aqimie untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Selepas menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 16 kali, badan Putra Airil Asraq menjadi lesu, malah berat badannya menyusut kepada 17 kilogram.

Raut wajahnya tidak pernah lekang dengan senyuman, ramai yang tidak dapat memba­yangkan derita perlu ditanggung kanak-kanak berkenaan.

Putra Airil Asraq yang di­sahkan menghidap kanser hati tahap tiga Oktober tahun lalu kini terlantar serta hanya mampu mengengsot jika ibunya, Nurul Asyikin Razak, 32, tiada di sisi.

Nurul Asyikin berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu hanya sempat bersekolah dua bulan sebelum pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac tahun lalu.

“Walaupun kini mengikuti PdPR di rumah, saya tidak pernah memaksanya, lagipun guru-guru juga memahami situasi serta kesihatan anak saya ketika ini.

“Setiap kali dia berasa sihat dan mahu mengikuti PdPR, saya menemaninya sepanjang masa termasuk menunggunya me­nyiapkan tugasan sekolah sehingga selesai semua,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kedai Mulong, di sini semalam.

Nurul Asyikin berkata, Putra Airil Asraq perlu mengikuti rawatan kemoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian tiga kali sebulan untuk rawatan penyakit yang dihida­pinya itu.

“Anak saya sebelum ini disahkan bebas daripada kanser hati tahap dua pada 2017, namun pada tahun lalu saya tidak me­nyangka berlaku perubahan pada dirinya apabila sering mengadu sakit bahagian sendi. Itu adalah petanda sel kanser kembali menyerang,” ujarnya.

Katanya, selepas Putra Airil Asraq disahkan menghidap kanser sekali lagi pada Oktober tahun lalu, dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai jururawat di sebuah klinik swasta untuk memberi sepenuh perhatian kepada anaknya.

“Kami lima beranak kini bergantung hidup dengan pendapatan suami Mohd. Aqimie Zulkifli yang bekerja sebagai mekanik. Setiap bulan, sebanyak RM1,000 dibelanjakan untuk keperluan Putra

Airil Asraq termasuk lampin pakai buang, kos ke hospital selain susu khas berharga RM54 setin yang ha­nya mampu bertahan untuk tempoh dua hari,” katanya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 018-9097070. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN