Di mana Hamzah, rakan-rakan akan bertanding? - Utusan Malaysia

Di mana Hamzah, rakan-rakan akan bertanding?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan tegas menyatakan parti itu akan bertanding di semua kerusi yang pernah ditandingi Barisan Nasional (BN) sebelum ini dalam Pilhan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Sebanyak 189 daripada 191 bahagian UMNO yang selesai bermesyuarat kelmarin pula membawa usul menolak sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya akan datang.

Bukan lagi rahsia, hubungan antara UMNO dan Bersatu kini bukan sahaja retak menanti belah sebaliknya memberi gambaran jelas hubungan kedua-dua parti itu mungkin ‘hancur’ menjelang PRU-15 dengan dijangka berlaku pertembungan sesama sendiri.

Pada PRU-14, Bersatu yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bertanding di 50 Parlimen dan 92 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan mereka hanya menang 13 kerusi Parlimen sebelum gelombang lompat parti membabitkan pemimpin UMNO berhijrah kepada Bersatu diikuti bekas pemimpin PKR. Ia menjadikan kedudukan kerusi semasa Bersatu ketika ini sebanyak 31 kerusi.

BN yang menang 79 kerusi pada PRU-14, kini hanya tinggal 41 kerusi selepas ramai wakil rakyatnya meninggalkan parti dan menyertai parti lain khususnya Bersatu. Paling terkesan dengan adegan lompat parti itu ialah UMNO yang kehilangan 17 kerusi Parlimen dengan lima daripadanya adalah dari Sabah.

Antara nama besar UMNO yang berhijrah ke Bersatu ialah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin kini memegang jawatan Setiausaha Agung Bersatu; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Pemimpin lain dari UMNO yang turut lompat parti itu ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Mohd Fasiah Mohd Fakeh; Ahli Parlimen Bagan Serai, Noor Azmi Ghazali; Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan ramai lagi pemimpin dari Sabah khususnya.

Persoalannya kini, di mana pemimpin-pemimpin terlibat akan bertanding selepas UMNO dengan tegas menyatakan mahu bertanding semua kerusi yang ditandingi mereka dalam PRU-14.

Paling mencuri tumpuan pastinya beberapa kerusi seperti di Jeli (Mustapa); Larut (Hamzah), Masjid Tanah (Mas Ermieyati) dan Tanah Merah (Ikmal Hisham). Bukan sahaja mereka, kerusi Pagoh yang disandang oleh Muhyiddin sejak sekian lama juga dikatakan akan ditandingi semula oleh UMNO.

Kini, semua mata pastinya tertumpu kepada Majlis Tertinggi UMNO yang perlu membuat keputusan sama ada akan me­nerima usul daripada Perwakilan bahagian itu atau sebaliknya.

Jika berlaku sebaliknya, Pas yang menyatakan pendirian untuk turut bersama Bersatu di dalam Perikatan Nasional (PN) mungkin sudah boleh berkira-kira untuk membahagi kerusi sesama mereka selain melalui proses sama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) pada PRU-15.

Apa yang pasti, hasrat jelas akar umbi UMNO yang menolak kerjasama dengan Bersatu menghangatkan lagi suasana politik negara menjelang PRU-15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN