ARAU: Pendedahan terbaharu Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri memberi kesan besar kepada parti itu, sekali gus bakal mengundang kemarahan akar umbi.
Akar umbi serta kebanyakan pemimpin parti itu sememangnya mahu melihat UMNO tidak menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun mereka juga sama sekali tidak boleh menerima UMNO bersama Anwar yang turut adanya DAP.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, soal pendedahan SD tersebut perlu diselesaikan dalam Majlis Tertinggi UMNO agar tidak mencetuskan polemik baharu yang bakal menjejaskan parti dan mengundang keresahan akar umbi.
Dalam masa sama, Rusdi berkata, perkara tersebut juga sepatutnya dibincangkan secara dalaman bukan melalui pendedahan seperti ini yang secara tidak langsung bakal memberi kesan besar kepada UMNO.
“Pastinya pendedahan dakwaan Ahmad Zahid menandatangani SD menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri bakal mengundang kemarahan akar umbi yang jelas menolak Presiden PKR itu dan DAP.
“Persoalan juga timbul, adakah tindakan Zahid itu didorong atas kepentingan peribadi atau kehendak parti? Ternyata kalau langkah itu diambil atas kepentingan peribadi ia akan memberi kesan kepada UMNO.
“Bila jadi pemimpin, mereka semua kena bercakap benar dan jangan flip-flop dalam membuat sebarang keputusan. Pemimpin ini mesti amanah dan berintegriti dalam tindakan serta jangan berdolak-dalik bila bercakap yang secara tidak langsung mengelirukan akar umbi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Annuar dalam satu sidang akhbar mendakwa pemimpin tertinggi parti termasuk Ahmad Zahid menandatangani SD menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu mendakwa mendapat maklumat dan bukti kukuh menunjukkan ada pemimpin tertinggi UMNO yang berunding dengan DAP.
Selain menolak kerjasama dengan Bersatu, mesyuarat bahagian UMNO baru-baru ini juga telah mengetengahkan usul agar parti itu tidak bersama Anwar dan DAP.
Rusdi berkata, langkah terbaik yang perlu dilakukan oleh UMNO selain mengukuhkan hubungan dengan Pas adalah dengan mempertahankan kerjasama dengan PN.
“Dalam masa sama, Bersatu dan Pas juga perlu menjaga hati UMNO dan langkah melantik pengerusi perhubungan PN di setiap negeri secara tidak langsung boleh menimbulkan syak wasangka,” katanya. – UTUSAN









