PUTRAJAYA: Kes kematian positif Covid-19 di negara ini melangkaui angka 500 kes dengan tujuh dicatat, semalam menjadikan keseluruhannya 501 kes.
Selangor terus merekodkan kes baharu tertinggi iaitu 687 kes diikuti Sabah, 303 kes; Johor, 295 kes dan Kuala Lumpur, 150 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes itu menjadikan Malaysia merekodkan kes kumulatif harian sebanyak 1,741 kes sekali gus mencatatkan keseluruhan 120,818 kes.
Menurut beliau, sehingga kini, terdapat 122 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 53 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan tujuh kematian dan lima kluster baharu.
Katanya, kes sembuh pula, sebanyak 1,010 kes dan menjadikan keseluruhan kes sembuh sebanyak 98,228 kes.
“Sebanyak 231 kluster aktif dipantau dan daripada jumlah itu, sebanyak 50 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Jalan Duyong (95 kes), Kluster Jalan Perindustrian (81 kes) dan Kluster Hentian (73 kes),” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Mengulas mengenai lima kluster baharu, Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya merekodkan sebanyak tiga kluster berkaitan tempat kerja manakala kluster berkaitan saringan individu bergejala dan sebuah pusat tahanan, masing-masing satu kluster.
Katanya, tiga kluster berkaitan tempat kerja ialah Kluster Jalan Duyong membabitkan Klang, Selangor, seramai 536 individu disaring, di mana 110 kes positif dan Kluster Pasar Jalan Sentosa membabitkan Kuala Langat, Selangor, seramai 293 individu disaring, di mana 61 kes positif.
“Satu lagi kluster ialah Kluster Jalan Nakhoda membabitkan Titiwangsa dan Cheras, Kuala Lumpur, seramai 99 individu disaring, di mana 14 kes positif.
“Bagi kluster berkaitan individu bergejala, Kluster Ehsan Ibol membabitkan Hulu Perak, Larut, Matang dan Selama, Perak serta Gombak, Selangor, seramai 40 individu disaring, di mana 22 kes positif manakala Kluster Telok Mas membabitkan sebuah pusat tahanan di Melaka Tengah, Melaka, seramai 33 individu disaring, di mana 13 kes positif,” katanya. – UTUSAN









