Blok ketiga sasar 150 kerusi Parlimen - Utusan Malaysia

Blok ketiga sasar 150 kerusi Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Blok ketiga sebagai alternatif kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bakal meletakkan calon wakil rakyat di sekurang-kurangnya 150 kerusi Parlimen iaitu 67 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Kesemua calon yang berada di dalam senarai blok berkenaan dipilih daripada kelompok profesional, aktivis masyarakat dan individu-individu tidak ber­par­ti.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, setakat ini blok ketiga itu bercadang bertanding atas tiket Bebas dan menggunakan satu logo.

“Ramai daripada mereka adalah profesional yang kuat-kuat daripada segi kewangan dan kemahiran dalam pelbagai bidang.

“Gerakan ini sudah beberapa bulan berjalan. Setakat ini disasarkan 150 kerusi Parlimen dan akan bertanding guna satu logo,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Gelora politik yang berterusan sejak tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) Februari lalu, kini mewujudkan desas-desus kemunculan blok ketiga sebagai alternatif kepada pe­ngundi pada PRU-15 nanti.

Menariknya, kumpulan ber­kenaan bukan golongan ‘partisan’ atau berpihak mana-mana sebaliknya datang daripada cabang profesional atau mereka yang mempunyai imej putih dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, aktivis ma­syarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali dengan nama panggilan Uncle Kentang mengakui ada menerima tawaran daripada blok berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, sebarang kata putus belum diberikannya memandangkan perlu menilai terlebih dahulu ‘ketelusan’ di sebaliknya.

“Saya akui memang wujud gerakan seperti ini dan saya sendiri ditawarkan untuk jadi calon. Tapi apa pun kena lihat dulu perjalanannya macam mana.

“Siapa calon-calon lain sebab bagi saya, yang paling penting untuk jadi calon mestilah orang yang ada agama. Kalau ada agama maka mereka akan takut untuk buat benda-benda yang salah,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi berkata, cubaan untuk menjadikan aktivis masyarakat dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang ‘popular’ sebagai wakil rakyat bukanlah perkara baharu.

Beliau berkata, ketika namanya hangat menjadi topik perbualan kerana ketegasan membanteras kegiatan ceti haram satu masa dulu, dirinya juga pernah ditawarkan untuk menjadi wakil rakyat salah sebuah parti politik dan dijanjikan portfolio timbalan menteri.

“Untuk blok ketiga ini saya belum terima apa-apa tawaran, kalau ditawarkan saya akan tolak. Macam dulu pun saya tolak, saya bukan pakar politik cuma aktivis yang memperjuangkan hal-hal masyarakat.

“Bagi saya, orang politik dan aktivis masyarakat kena bekerjasama untuk majukan lagi negara. Biar orang politik jalankan kerja mereka dan kami aktivis tiada masalah untuk bagi pandangan dan cadangan yang membina,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN