Dekorasi pokok sebagai hiasan dalam rumah sememangnya bukan sesuatu yang asing. Selain menambahkan keindahan, ia juga diketahui dapat memberikan manfat pengudaraan yang baik bagi sesuatu ruang.
Hari ini, menanam pokok hiasan dalam rumah bagaikan suatu aliran. Pasti ramai yang bingung untuk memilih pelbagai jenis pokok hiasan yang tersedia bak ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.
Mengelakkan kekeliruan, Seri dapatkan pakar arkitek hiasan dalaman, Asri Fikri Mohamad Jamal dari Adha Interior Design Studio bagi memberikan pencerahan mengenai tanaman sesuai sebagai hiasan dalam rumah.
1. Spider Plant (Chlorophytum comosum)
Tanaman labah-labah ini tahan lasak dan tumbuh subur walaupun tanpa penjagaan rapi. Ia gemar persekitaran tanah lembap tetapi tidak mengapa sekiranya anda lupa menyiramnya sekali-sekala. Ia perlu berada dalam cahaya terang hingga sederhana. Elakkan cahaya matahari secara langsung. Kelebihan lain tumbuhan ini kerana ia turut dianggap selamat kepada haiwan peliharaan, namun sedikit halusinogen kepada kucing.

2. Ficus
Tanaman rumah ini turut popular sebagai hiasan di pejabat. Hal ini kerana ia memiliki bentuk dan penampilan menarik selain sangat berkesan untuk membersihkan udara dalam kediaman. Ficus lebih suka cahaya terang, tetapi tidak secara langsung. Tarikannya membuatkan ia sesuai sebagai pusat tumpuan bagi sesuatu ruang. Cuma ia harus diletakkan di tempat selamat kerana ia tidak sesuai bagi haiwan peliharaan. Kalau haiwan anda mengunyah daun Ficus mungkin boleh menyebabkan muntah atau cirit-birit.

3. Aloe Vera
Turut dikenali sebagai pokok lidah buaya, ia adalah antara tumbuhan semula jadi paling banyak khasiat kepada manusia. Baik untuk kegunaan luaran mahupun dalaman. Selain itu dan senang dijaga. Boleh diletak dalam bilik air atau dapur untuk menghijaukan suasana. Lebih menarik, gel dari pokok lidah buaya boleh diambil untuk merawat kulit.

4. Golden pothos (sirih gading)
Tanaman hiasan ini lebih kepada mencantikkan ruang. Sesuai diletakkan dalam pasu dan digantung sekitar kawasan rumah. Selain mencantikkan suasana, ia juga memberikan anda aktiviti baharu dengan menjaga tanaman bagi mengisi masa lapang. Cubalah!.
5. Peace lily (pokok bunga Lili)
Peace lily atau dikenali sebagai lili perdamaian menjadi salah satu bunga hiasan, baik di dalam mahu pun luar rumah. Ia juga boleh hidup dalam keadaan redup, tahan suhu rendah dan kawasan kering. Lili adalah sejenis pokok kecil berbunga cantik, sesuai diletak atas meja atau sebagai hiasan di rak buku. Ia menyuntik elemen ketenangan di sudut berkenaan.

6. Fiddle Leaf Fig (fycus lyrata)
Pokok ini memiliki daun besar dan lebat. Batang pokoknya boleh tumbuh dengan tinggi. Ia sesuai sebagai pengisi ruang rumah untuk kelihatan lebih ‘penuh’ seperti di ruang tamu atau ruang makan. Pastikan ia diletak di tempat yang mempunyai pencahayaan cukup. Sekiranya daunnya berhabuk, lapkan sahaja.

7. Monsterra (janda bolong)
Kehadiran monstera dalam dipercayai menambah produktiviti dan dapat meningkatkan mood. Monstera memiliki ukuran raksasa dengan ciri khas daun iaitu daunnya berlubang. Walaupun ia dikatakan mampu membersihkan udara dalam rumah, elakkan ia daripada jangkauan kanak-kanak. Kalau termakan daunnya, ia boleh mengakibatkan iritasi.
8. Lucky Bamboo (buluh rezeki)
Salah satu contoh jenis tanaman sering dipakai sebagai fengshui ialah Bambu Hoki atau Bambu Rezeki. Nama latinnya ialah dracaena sanderiana. Memiliki sifat lentur dan fleksibel, tidak keras tetapi tidak lembut. Ia berfungsi sebagai alat terapi semula jadi. Cantik sebagai hiasan meja makan atau meja hiasanan lantaran saiznya sederhana. Tidak terlalu besar dan tidak begitu kecil.

9. Dracaena
Pokok ini mempunyai pelbagai jenis rupa dan warna. Bagus diletakkan dalam ruangan rumah kerana mampu menyingkirkan udara tercemar, mengawal haba yang panas, malah dapat melegakan masalah pernafasan. Tumbuhan hiasan dalaman ini sesuai bagi mereka yang bekerja di pejabat kerana ia dapat merangsang aura positif. Ia turut sesuai diletakkan di ruangan belajar.
10. Philodendron Green
Jika ‘dibela’ di dalam persekitaran sesuai, pokok dengan daun berbentuk hati ini boleh membesar lebih satu meter. Sesuai diletakkan di rak yang tinggi atau digantungkan sebagai tumbuhan hiasan di mana-mana lokasi anda gemari.










