KUALA LUMPUR: Hanya pemimpin politik yang terdesak sahaja akan memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, Anwar mungkin mempunyai jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya sehingga beliau sanggup membuat pengumuman mendapat sejumlah sokongan..
“Kita mempunyai beberapa pemimpin politik yang mempunyai kepentingan strategik untuk memastikan mereka terlepas daripada kes atau hukuman pihak mahkamah. Oleh itu, tidak mustahil mereka bersedia untuk bekerjasama dengan Anwar dan memberikan sokongan.
“Kita hanya perlu menunggu dan berserah pada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuat keputusan bagi menyelesaikan kemelut ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Ahli Parlimen Port Dickson itu dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong sekali lagi untuk mengemukakan bukti bahawa beliau kini mempunyai sejumlah sokongan yang mencukupi dalam kalangan ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu.
Pada 13 Oktober lalu, Anwar diperkenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara dan telah mempersembahkan dokumen yang didakwa mengandungi butiran sokongan majoriti ahli Parlimen, namun tidak mempersembahkan senarai nama tersebut.
Tindakan Ketua Pembangkang itu menyebabkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerima 113 laporan selepas beberapa pihak tampil membuat laporan polis terhadap Anwar.
Beliau telah memberikan keterangan mengenai penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokong pimpinan beliau kepada pihak JSJ Bukit Aman pada 13 Oktober lalu.
Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin ketika dihubungi berhubung Majlis Mengadap yang dikatakan akan berlangsung esok hanya memberitahu: “Tiada dalam jadual.”
Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, sokongan 113 ahli Parlimen Dewan Rakyat juga merupakan majoriti mudah dan tidak stabil.
“Sekiranya perkara yang dikatakan itu sahih maka ia mampu menumbangkan kerajaan sedia ada, namun jumlah majoriti yang disebutkan itu masih lemah dan untuk mempunyai sebuah kerajaan yang kukuh adalah lebih baik jika jumlah majoriti itu lebih daripada 113.
“Saya berpendapat seeloknya jika kerajaan dibubarkan bagi memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih semula tetapi memahami keadaan pandemik ketika ini, perkara itu sukar dilaksana,” katanya. – UTUSAN ONLINE









