IPOH: Tiga beradik lelaki terbunuh selepas kereta dipandu ibu mereka terbabas dan melanggar sebuah treler yang berada di lorong kecemasan di Kilometer 272.5, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gunung Lang di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu mengorbankan Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafiz berusia tujuh tahun dan dua adiknya, Muhammad Lutfi Hakim dan Muhammad Affan Hafiy masing-masing berusia tiga dan satu tahun.
Kemalangan itu turut mengakibatkan ibu tiga beradik, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, yang memandu kereta jenis Perodua Axia cedera parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, sebelum kejadian nahas mengorbankan tiga beradik itu, berlaku kemalangan langgar belakang membabitkan sebuah treler dan lori di lokasi sama.
Katanya, kedua-dua kenderaan itu telah dialihkan ke lorong kecemasan dengan pihak Plus Ronda memberi bantuan dan kawalan lalu lintas.
“Bagaimanapun, sebuah kereta jenis Perodua Axia tiba-tiba datang dari arah sama di lorong kanan di mana kenderaan itu hilang kawalan dan berpusing melanggar bahagian belakang treler berkenaan.
“Akibat kemalangan tersebut, empat beranak itu telah tersepit dalam kenderaan di mana ketiga-tiga kanak-kanak yang cedera parah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala ibunya kini dirawat di wad kecemasan,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, dalam kemalangan itu, pemandu treler muatan barang elektrik dari Shah Alam ke Pulang Pinang berusia 36 dan lelaki berusia 32 tahun yang memandu lori muatan baja sawit tidak cedera.
Katanya, keempat-empat beranak itu dipercayai berasal dari Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor berdasarkan dokumen yang dijumpai bersama mangsa.
“Siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat terbabas sendiri lalu melanggar belakang treler yang berada di lorong kecemasan.
“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE










