KUALA LUMPUR: Kewibawaan Laksamana Muda Rohana Jupri terus terserlah apabila memecah tradisi sebagai pegawai wanita pertama dilantik Laksamana Pertama dalam tempoh 83 tahun penubuhan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pengiktirafan itu merupakan pencapaian tertinggi kedua Rohana, 57, yang sebelum ini turut melakar sejarah dalam TLDM apabila menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai kepten pada tahun 2017.
Rohana yang kini memegang jawatan Pengarah Kanan Materiel di Markas Tentera Laut itu berkata, kenaikan pangkat ini membuktikan kemampuan dan kredibiliti wanita dalam TLDM diiktiraf oleh pengurusan tertinggi.
“Bagi saya, kita perlu sentiasa berfikiran positif dan tidak gentar menyahut cabaran. Untuk mencapai sesuatu, sudah tentu kita perlu bekerja keras dan tidak dinafikan bersaing dengan pegawai lelaki bukan sesuatu yang mudah.
“Walau bagaimanapun, saya tidak memandang jantina sebagai batu penghalang dan berharap selepas ini lebih ramai pegawai wanita yang dapat mengikuti jejak saya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany di KD Sri Gombak, semalam.
Mohd. Reza berkata, peranan wanita dalam TLDM tidak dinafikan dan mereka meliputi semua kepakaran utama yang ada dalam TLDM termasuk Bekalan, Pelaut dan Kejuruteraan.
“Kenaikan pangkat dan kepercayaan yang diberikan terhadap Rohana meletakkan beliau sama tinggi bersama barisan tertinggi TLDM dalam kumpulan Jawatankuasa Laksamana (JLAKS). Beliau telah memegang jawatan tertentu dan melakukan tugas dengan baik terutama di bahagian logistik.
“Ruang dan peluang sentiasa diberikan terhadap golongan wanita dan diharap pencapaian Rohana akan menjadi inspirasi kepada semua untuk terus menunjukkan kecemerlangan dalam tugas,” ujarnya.
Majlis tersebut turut menyaksikan Laksamana Pertama Datuk Affendy Suhaimi dinaikkan ke pangkat Laksamana Muda sekali gus menyandang jawatan Asisten Ketua Staf (AKS) Materiel. – UTUSAN










