KUALA LUMPUR: Parlimen meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat semalam dengan sokongan 111 berbanding 108 undi pembangkang, sekali gus menggagalkan cubaan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dengan perkembangan terbaharu itu, spekulasi yang mengaitkan dakwaan 10 ahli Parlimen UMNO berpaling untuk menyokong pembangkang tidak benar sama sekali, sebaliknya mereka berpihak kepada Perdana Menteri kecuali Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak hadir pada undian secara belah bahagian yang diadakan semalam.
Sebelum ini jangkaan bekas Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjalinkan kerjasama saat akhir dengan Tengku Razaleigh serta tidak menolak kemungkinan kerajaan PN jatuh dalam undian berkenaan juga jauh meleset.
Begitu juga dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau memiliki akuan bersumpah (SD) 10 ahli Parlimen UMNO untuk menjatuhkan kerajaan Muhyiddin terbukti tidak benar.
Kenyataan akhbar Pakatan Harapan (PH) kelmarin yang secara terbuka mahu menolak belanjawan bernilai RM322.5 bilion itu ternyata memakan diri.
Peristiwa bersejarah itu telah menjawab beberapa ‘isu panas’ yang berlegar sejak akhir-akhir ini.
Ia secara tidak langsung menzahirkan tahap kesetiaan UMNO dalam mendukung kepemimpinan Perdana Menteri meskipun sebelum ini wujud kritikan hebat berkenaan moratorium pinjaman dan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Hakikat yang perlu diterima semua pihak, kerajaan PN yang hanya mempunyai majoriti mudah tidak tumbang semalam dan perlu diberikan kepercayaan untuk terus mentadbir negara.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan, seorang ahli Parlimen tidak hadir dalam sesi pengundian yang begitu getir menentukan untung nasib kerajaan.
Dalam pada itu, RUU Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi juga tidak berdepan kesukaran apabila diluluskan secara suara majoriti.
Meskipun ketika sesi perbahasan Kementerian Pendidikan berlangsung, Dr. Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) meminta semua ahli Parlimen menolaknya, namun tidak kedengaran langsung suara ahli Parlimen yang menolak.
Malah, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan juga tidak bangun untuk mengusulkan undian secara belah bahagian.
Seluruh rakyat Malaysia sudah boleh menarik nafas lega apabila faedah-faedah yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terutamanya Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan menjadi kenyataan.
Dengan penerimaan vaksin Covid-19 pada tahun depan yang akan memanfaatkan kira-kira 70 peratus penduduk, pemulihan ekonomi negara pastinya akan berjalan lancar seperti direncana kerajaan. – UTUSAN ONLINE










