Negara kehilangan tokoh yang banyak berjasa - Utusan Malaysia

Negara kehilangan tokoh yang banyak berjasa

Jenazah Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dibawa ke Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, malam tadi untuk disembahyangkan. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang banyak menyumbang tenaga dan buah fikiran dalam membangunkan ekonomi dan pendidikan me­rupakan satu kehila­ngan besar buat negara.

Ungku Abdul Aziz yang ber­usia 98 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court di sini petang semalam.

Jenazah selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Bukit Kiara kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Ungku Abdul Aziz yang pulang ke Rahmatullah akibat sakit tua pada kira-kira 4 petang semalam.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu ini.

Seri Paduka berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara.

Seri Paduka berdua turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehila­ngan besar kepada negara.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Ungku Abdul Aziz.

Sultan Sharafuddin dalam titahnya berkata, baginda me­ngenali Allahyarham sebagai seorang tokoh pendidikan dan pembangunan ekonomi Mela­yu dan umat Islam.

Titah Sultan Selangor, bagin­da turut kagum dengan pemikiran, aspirasi dan idea-idea Allahyarham yang merentas masa dan zaman.

“Beta sentiasa mengikuti rapat pandangan-pandangan dan buah fikiran Allahyarham semasa hayatnya dalam pelbagai isu yang dekat dengan rakyat jelata yang seharusnya diteladani.

“Secara peribadi, beta juga mengenali dan pernah bertemu Allahyarham yang turut mempunyai kediaman berhampiran Istana Pantai Bahagia di Morib dan anak Allahyarham iaitu bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz,” titahnya menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office di sini malam semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN