GEORGETOWN: Nostalgia 126 tahun perkhidmatan feri Pulau Pinang yang membawa kenderaan empat roda menyeberangi antara Seberang Perai dan bahagian pulau negeri ini berakhir buat selama-lamanya bermula 1 Januari ini.
Perkara itu disahkan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng ketika memaklumkan rancangan penambahbaikan perkhidmatan feri yang juga merupakan ikonik dan medium pengangkutan warisan negeri ini.
Beliau berkata, bermula 1 Januari ini hingga Jun 2022, feri sedia ada hanya digunakan oleh penunggang basikal dan motosikal manakala penumpang biasa pula menaiki bot laju.
Tambah beliau, penambahbaikan itu dilaksanakan secara interim bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2022 sebelum perkhidmatan katamaran atau teksi air diperkenalkan selepas tarikh itu.
Ujarnya, dua buah bot laju yang menggantikan feri itu mampu membawa 200 penumpang dengan kepantasan perjalanan antara 10 hingga 15 minit dengan kekerapan 40 kali sehari.
Tambah beliau, sepanjang tempoh itu juga, kedua-dua terminal di Pangkalan Raja Tun Uda, Georgetown dan Sultan Abdul Halim, Butterworth akan diubah suai dan dinaik taraf dengan terminal di George Town dipindahkan sementara ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).
“Usaha ini dilakukan ke arah menyediakan perkhidmatan feri lebih cekap dan terminal yang lebih selesa,” katanya di sini semalam.
Menurut Teik Cheng, selepas tempoh interim iaitu bermula 1 Julai 2022 atau mungkin lebih awal, perkhidmatan bot laju itu digantikan dengan feri baharu iaitu katamaran atau teksi air dan pengangkut kenderaan.
Tambah beliau, di bawah pengendalian Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), sebanyak tiga buah katamaran disediakan yang berkemampuan membawa sehingga 200 penumpang dengan kepantasan antara 10 hingga ke 15 minit dengan kekerapan 40 kali sehari.
Ujarnya, pengangkut kenderaan yang diperkenalkan pula hanya boleh digunakan oleh pengguna basikal dan pembonceng motosikal.
“Penggantian kepada bot jenis katamaran ini juga mengambil kira penjimatan yang dapat dilakukan memandangkan bot jenis ini mudah diselenggara.
“Berbanding feri sedia ada ketika ini, kos membaiki sebuah feri mencecah sehingga RM2.2 juta dan kita juga sukar mendapatkan alat ganti kerana perlu diimport dari Jerman dan Sweden,” katanya. – UTUSAN ONLINE










