ABLO Daniel Osvaldo atau lebih dikenali sebagai Dani Osvaldo pernah mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan persaraan daripada bola sepak pada usia 30 tahun bagi mengejar citacita menjadi bintang rock.
Keputusan itu dibuat bagi mengejar impiannya menjadi penyanyi utama kumpulan Barrio Viejo dan mereka sudah mengeluarkan album dengan Rolling Stones menjadi idola.
Bagaimanapun, selepas empat tahun berkecimpung dalam dunia hiburan, Osvaldo kembali mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan keluar daripada persaraan untuk menyertai kelab Banfield di Argentina, negara kelahirannya.
Keputusan bersara sebelum ini dibuat kerana dia tidak menyukai peraturan bola sepak.


“Saya berusia 30 tahun ketika meninggalkan bola sepak.
“Ramai tidak faham minat saya. Mereka kata saya gila kerana meninggalkan kelab-kelab hebat kerana ingin menjadi bintang rock.
“Bola sepak terlalu banyak peraturan dan saya tidak berminat dengan semua itu kerana saya mahu bebas.
“Memang saya terhutang budi dengan bola sepak tetapi dunia bola sepak tidak masuk akal, kamu hanya berharga sekiranya hebat di atas padang atau tidak bernilai jika tidak hebat.
“Saya tidak suka semua ini. Saya seorang yang sensitif. Saya muak dengan semua ini dan memutuskan untuk menjadi ahli muzik.
“Selepas meninggalkan bola sepak, hidup saya semakin tenang dan gembira,” katanya kepada media Argentina.

Sebelum ini, Osvaldo memiliki karier bola sepak yang penuh dengan kontroversi meskipun memiliki bakat luar biasa sebagai penyerang.
Dia memulakan karier bersama Huracan sebelum dipikat Atalanta pada usia 20 tahun dan menyertai beberapa kelab terkemuka termasuk Roma, Juventus dan Inter Milan.
Di kota Rom, dia membentuk gandingan hebat bersama legenda kelab, Francesco Totti dan insiden menumbuk muka Erik Lamela akan menjadi ingatan abadi buat peminat.
Dia juga pernah beraksi buat kelab Liga Perdana Inggeris, Southampton.










