ALOR SETAR: Macam-macam inisiatif digunakan guru bagi menarik pelajar menyertai pembelajan secara dalam talian selepas kerajaan memutuskan semua sekolah ditutup bagi mengelak penularan Covidd-19.
Seorang guru, Dr. Abd. Ghani Jalil, 46, berkata, guru perlu bijak menggunakan pelbagai medium bukan sahaja bagi memudahkan sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) tetapi memastikan pelajar tidak bosan.
“Dalam kelas cemerlang saya guna video obs (open broadcaster software), google meet dan google clasroom supaya dapat memuat turun dan disimpan di dalam fail itu.
“Melalui google classroom pula pelajar boleh menghantar kembali tugasan dan ini memudahkan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payung di sinii berkata, bagi kelas pelajar kurang cemerlang, dia akan menggunakan teknik Tik Tok kerana aplikasi diminati ramai remaja.
“Menerusi Tik Tok murid tidak bosan dan mudah faham serta meminatinya,” katanya.
Seorang guru, Lukman Moidin, 50, dari Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Hutan Kampung berkata, masalah capaian internet sering kali membantutkan pelajar meneruskan pembelajaran.
“Capaian internet yang lemah dan sering terputus-putus menyebabkan minat pelajar untuk belajar merudum,” katanya.
Guru, Mohd. Yunus Abdullah, dari Sekolah Kebangsaan Kubang Palas, Kuala Nerang, pula berkata, bagi menarik minat pelajar, guru perlu mengadakan pembelajaran secara kuiz.
Katanya, bagi pelajar sekolah rendah mereka cepat bosan belajar melalui dalam talian selain guru juga tidak dapat mengawal muridnya.
“Oleh itu, adalah baiknya guru mengajar secara kuiz supaya menjadi saingan di kalangan mereka dan sekali gus hilang perasaan bosan,” ujarnya. – UTUSAN











